Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah flood victims Covid-19 positive infectious diseases
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kes sembuh daripada jangkitan Covid-19 mencatatkan jumlah yang tinggi apabila sebanyak 3,559 kes dilaporkan pulih setakat pukul 12 tengahari hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif yang pulih daripada Covid-19 adalah sebanyak 2,762,608 kes.

Bagaimanapun beliau memaklumkan, terdapat 131 kes yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana 113 kes disahkan Covid-19, 18 kes disyaki dan kemungkinan serta masih dalam siasatan.

Ujarnya, sebanyak, 65 kes yang dirawat memerlukan bantuan alat pernafasan.

Dalam pada itu Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menemui 13 lagi kluster baharu dalam tempoh 24 jam.

Penemuan terbaharu itu menjadikan jumlah kluster yang ditemui setakat ini adalah sebanyak 6,328.

Tambahnya, terdapat 244 kluster masih lagi aktif namun, sehingga hari ini sebanyak 6,084 kluster telah ditamatkan.

Terdahulu hari ini, Noor Hisham menerusi Twitter memaklumkan, jangkitan baharu Covid-19 melepasi paras 4,000 dengan 4,066 kes dilaporkan pada hari ini.

Daripada jumlah itu, kata beliau, sebanyak 4,016 kes terdiri daripada kategori satu dan dua manakala 50 kes lagi adalah kategori tiga, empat dan lima. – MalaysiaGazette