KUALA LUMPUR – Prestasi Indeks Pelopor (IP) kekal optimistik dengan mencatatkan 111.3 mata pada November 2021 (November 2020: 109.4 mata) apabila ekonomi beransur pulih daripada gangguan akibat pandemik Covid-19.

IP merupakan alat digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Ini selaras dengan pertumbuhan IP sebanyak 1.7 peratus tahun ke tahun terutamanya didorong oleh kenaikan dalam Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan.

Menelusuri perspektif bulan ke bulan, trend yang sama didapati oleh IP dengan mencatatkan 1.6 peratus pada November 2021, melonjak daripada negatif 0.9 peratus pada Oktober 2021 yang disumbangkan terutamanya oleh Bilangan Unit Kediaman yang
Diluluskan Pembinaan (0.7%) dan Penawaran Wang Benar, M1 (0.6%).

IP yang menunjukkan keupayaan untuk menjangka hala tuju ekonomi lebih awal menggambarkan prospek ekonomi yang lebih baik dengan mengekalkan paras indeks melepasi 100.0 mata dan bergerak ke atas, memberi isyarat Malaysia mengalami pemulihan ekonomi yang lebih baik pada bulan-bulan akan datang.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, banjir baru-baru ini dijangka memberi kesan terhad kepada pemulihan ekonomi.

Ini disebabkan tindakan pantas kerajaan dalam menyediakan inisiatif bantuan iaitu Bantuan Banjir Keluarga Malaysia berjumlah RM1.4 bilion dijangka dapat memulihkan aktiviti ekonomi di kawasan terjejas.

Indeks Serentak (IS) yang mengukur keseluruhan prestasi ekonomi semasa pula meningkat sejak Ogos 2021, mencerminkan peningkatan dalam aktiviti ekonomi apabila langkah pembendungan dilonggarkan secara berperingkat.

IS terus meningkat sebanyak 3.0 peratus tahun ke tahun untuk mencapai 114.3 mata pada November 2021.

Berasaskan bulanan, pertumbuhan IS meningkat kepada 0.9 peratus pada bulan rujukan daripada 0.8 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan ketara dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian (0.3%) dan Nilai Caruman Benar kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (0.3%). – MalaysiaGazette