KUALA LUMPUR – Prosiding permohonan saman oleh kerajaan Malaysia terhadap National Feedlot Corporation (NFC) ditangguhkan bagi memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk menyelesaikannya terlebih dahulu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Anand Ponnudurai menetapkan seandainya tidak ada penyelesaian maka prosiding saman akan diteruskan pada 17 Mei ini.

Perkara tersebut disahkan Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan yang mewakili kerajaan yang menuntut NFC membayar balik pinjaman dan faedah berjumlah RM253.6 juta untuk projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.

“Perbicaraan telah ditangguh berikutan (permohonan penangguhan yang dikemukakan) NFC bagi penyelesaian kes saman itu, semua pihak-pihak ini akan memaklumkan kepada mahkamah sama ada penyelesaian dicapai.

“Jika tidak perbicaraan akan bersambung pada tarikh itu. Kita telah kemukakan lima saksi dalam kes saman ini,” katanya.

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan suaminya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail yang juga merupakan defendan kedua sepatutnya memberi keterangan.

NFC diterajui Mohamad Salleh dan tiga orang anak mereka.

Pada 13 Januari 2020, perbicaraan saman ini bermula dan tujuh saksi plaintif dan seorang saksi defendan selesai memberi keterangan.

Kerajaan menamakan NFC sebagai defendan pertama manakala Mohamad Salleh dan tiga anaknya, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, masing-masing merupakan defendan kedua hingga kelima.

Pengerusi NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail

Kerajaan mendakwa satu perjanjian telah ditandatangani dengan NFC pada 6 Disember 2007 bagi pinjaman berjumlah RM250 juta dengan sebahagian daripadanya digunakan untuk membiayai penubuhan dan operasi Pusat Fidlot Nasional.

Penubuhan pusat itu adaklah untuk membangun serta meningkatkan pengeluaran daging lembu dan produk daging lembu.

Pinjaman tersebut telah diberikan kepada NFC dan keluarga Muhamad Salleh yang telah membuat 10 pengeluaran berjumlah RM180.51 juta bermula 24 Januari 2008 hingga 3 Januari 2011.

Daripada jumlah itu, kerajaan mendakwa hanya RM8.32 juta dibayar secara terus kepada pihak ketiga untuk menjalankan projek Pusat Fidlot Nasional, manakala baki dana yang dikeluarkan telah dipindahkan ke akaun NFC yang lain dan sejumlah RM118.04 juta daripada baki itu didakwa telah disalahgunakan.

Dana sebanyak RM9.76 juta digunakan untuk membeli dua unit kediaman di One Menerung Residence oleh defendan keenam iaitu National Meat & Livestock Corp dengan RM300,000 dipercayai digunakan untuk membuat bayaran kepada seorang individu bagi tujuan yang tidak didedahkan.

Sebanyak RM1.8 juta lagi dibayar kepada individu sama.

Kerajaan juga mendakwa keluarga Mohamad Salleh telah menggunakan dana tersebut untuk membayar sewa bulanan RM28,000 bagi satu lot pejabat di Solaris Mont Kiara selain membeli dua bidang tanah di Putrajaya, membuat bayaran kepada dua firma guaman serta membeli sebuah rumah kedai empat tingkat di Solaris Mont Kiara. – MalaysiaGazette