Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed mendengar penerangan dari pencipta logo baru ketika hadir pada Majlis Pelancaran Buku dan Logo Baharu UKM-GSB di Hotel Double Tree, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 25 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA – Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) telah menjalinkan kolaborasi dengan beberapa institusi perbankan bagi meningkatkan kualiti pengajaran kepada pelajar yang menyambung pengajian tinggi di institusi pengajian tinggi awam itu.

Kerjasama itu adalah melibatkan syarikat-syarikat perbankan Malaysia seperti Malayan Banking Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia, Affin Bank Berhad, Bank Muamalat Berhad dan Alliance Bank Berhad.

Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, kerjasama yang terjalin itu bakal memberikan kemudahan pembiayaan pengajian di UKM-GSB bagi program-program pascasiswazah perniagaan seperti Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Falsafah Kedoktoran dan Kedoktoran Pentadbiran Perniagaan.

“Pakej pembiayaan ini adalah berbeza dari bentuk pinjaman peribadi, dan pelbagai model bayaran semula disediakan bergantung kepada bank yang dipilih.

“Pelajar yang berminat untuk mendapatkan pembiayaan pengajian hendaklah mendaftar dan mendapat surat tawaran GSB terlebih dahulu sebelum memohon kemudahan daripada bank yang dipilih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran 13 buah buku ilmiah hasil nukilan pensyarah-pensyarah GSB yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed di DoubleTree by Hilton Putrajaya Lakeside Hotel di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berucap ketika hadir pada Majlis Pelancaran Buku dan Logo Baharu UKM-GSB di Hotel Double Tree, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 25 JANUARI 2022.

Buku-buku itu terdiri daripada pelbagai bidang kepakaran seperti pengurusan sumber manusia, pengurusan kewangan dan pengurusan pemasaran.

Pada majlis sama, turut dilancarkan logo baharu GSB dalam usaha menjadi penyuntik semangat warga fakulti.

Sementara itu, Mohd Ekhwan yakin UKM GSB akan mampu untuk terus menyumbangkan penglibatan yang lebih besar dalam sektor ekonomi negara secara lebih progresif dan holistic.

Jelas beliau, dengan adanya para pensyarah yang cemerlang dan pakar dalam bidang masing – masing, fakulti itu juga akan terus dapat memainkan peranannya untuk meningkatkan kecemerlangan dalam memperkasakan pendidikan pengurusan perniagaan negara,

“Saya berharap majlis pada hari ini juga dapat dijadikan manifestasi kepada komitmen berterusan UKM-GSB untuk terus memasyarakatkan penyelidikan UKM dengan menyebarluaskan hasil penyelidikan ini melalui penghasilan buku-buku yang bermanfaat kepada masyarakat dan negara.

“Buku-buku ini juga akan menjadi salah satu rujukan penting bukan sahaja kepada ahli akademi, pelajar sarjana dan kedoktoran tetapi juga untuk golongan profesional dan pentadbiran,” katanya. – MalaysiaGazette

Antara buku yang akan dilancaran oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika hadir pada Majlis Pelancaran Buku dan Logo Baharu UKM-GSB di Hotel Double Tree, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 25 JANUARI 2022.

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast