KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan meningkat 10.0 peratus pada Disember 2021 berbanding penurunan 2.1 peratus yang dicatatkan pada bulan yang sama tahun sebelumnya kesan daripada harga komoditi utama yang meningkat pada kadar lebih rendah namun tekanan inflasi masih berterusan.

Peningkatan dalam IHPR pengeluaran tempatan pada Disember 2021 disumbangkan oleh indeks perlombongan yang melonjak 45.1 peratus berbanding kejatuhan 40.0 peratus yang dicatatkan pada Disember 2020.

Harga Minyak mentah (46.8%) dan gas asli (37.0%) yang lebih tinggi telah menyumbang kepada kenaikan ini.

Indeks pertanian, perhutanan & perikanan juga meningkat pada kadar sederhana iaitu 10.9 peratus (Disember 2020: 23.5%), sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan dalam indeks perikanan (12.4%), pengeluaran ternakan (11.6%) dan penanaman tanaman kekal (11.2%).

Sementara itu, indeks pembuatan meningkat 7.6 peratus berbanding peningkatan marginal 0.2 peratus yang dicatatkan pada setahun yang lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan ini disumbangkan oleh indeks bagi subsektor pembuatan produk petroleum bertapis (22.3%), pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan (18.1%) dan pembuatan kimia asas, baja & sebatian nitrogen, plastik & getah sintetik dalam bentuk primer (15.6%).

Selain itu, indeks bagi subsektor pembuatan produk plastik, pembuatan produk getah dan pembuatan besi & keluli asas turut meningkat.

Indeks utiliti merekodkan peningkatan secara marginal masing-masing dengan 0.9 peratus dan 0.7 peratus bagi indeks bekalan air dan indeks bekalan elektrik & gas.

Melihat kepada perbandingan bulan ke bulan, Mohd Uzir menjelaskan, IHPR pengeluaran tempatan buat pertama kalinya mencatatkan penurunan setelah merekodkan peningkatan secara konsisten selama 14 bulan berturut-turut.

IHPR pengeluaran tempatan menurun 0.6 peratus pada Disember 2021, yang mana penurunan ini disumbangkan terutamanya oleh indeks perlombongan dengan catatan negatif 4.2 peratus.

Harga minyak mentah masih merekodkan kejatuhan disebabkan oleh penularan varian Omicron dan menyumbang kepada penambahan kes positif Covid-19 yang bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di seluruh dunia.

Selain itu, indeks pertanian, perhutanan & perikanan juga mencatatkan penurunan 2.9 peratus, dipacu terutamanya oleh harga buah tandan segar kelapa sawit yang turun 4.9 peratus berbanding November 2021.

Harga bagi Ayam juga menunjukkan penurunan 0.8 peratus manakala, indeks pembuatan meningkat secara marginal 0.1 peratus, disumbangkan oleh kenaikan sederhana 0.7 peratus bagi subsektor pembuatan produk petroleum bertapis selain peningkatan harga bagi produk-produk berkaitan dengan pembinaan.

Namun begitu, peningkatan marginal dalam indeks Pembuatan turut diimbangi dengan kejatuhan 0.8 peratus bagi pembuatan komponen & papan elektronik.

Pada masa yang sama, indeks bekalan air dan bekalan elektrik & gas masing-masing meningkat 0.5 peratus dan 0.1 peratus.

Katanya, indeks bahan mentah untuk diproses selanjutnya meningkat 21.4 peratus berbanding penurunan 10.0 peratus yang dicatatkan pada bulan yang sama tahun sebelumnya dipengaruhi terutamanya oleh harga yang lebih tinggi bagi komoditi bukan makanan antaranya minyak mentah, buah tandan segar kelapa sawit dan bahan bakar selain diesel.

Indeks bahan makanan & makanan untuk binatang seperti lada hitam, ayam, kobis bulat, tomato dan telur ayam turut meningkat.

Pada masa yang sama, indeks bahan perantaraan, bekalan & komponen naik 10.9 peratus. Antara produk yang menyumbang kepada peningkatan ini ialah minyak sawit mentah, litar bersepadu, aluminium, bar bulat keluli lembut dan makanan ayam campuran.

Bagaimanapun, indeks barang siap mencatatkan penurunan 0.2 peratus disebabkan oleh penurunan dalam indeks komputer peribadi dan sarung tangan getah. – MalaysiaGazette