Khairussaleh Ramli . foto Bernama

KUALA LUMPUR – Seperti yang disebut-sebut, Datuk Khairussaleh Ramli akan dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GPCEO) Maybank selepas mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia.

Beliau akan menggantikan Datuk Seri Abdul Farid Alias sebagai GPCEO berkuat kuasa 1 Mei 2022.

Pengerusi Maybank Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa yang mengesahkan perkara itu berkata, Lembaga Pengarah mengalu-alukan Khairussaleh dan menantikan peluang untuk bekerjasama dengan beliau dalam fasa pertumbuhan Maybank yang seterusnya.

”Datuk Khairussaleh menyertai semula keluarga Maybank dan membawa bersama beliau pelbagai pengetahuan dan pengalaman hampir 30 tahun daripada industri perkhidmatan kewangan dan pasaran modal.

”Kami yakin dengan pengalaman luasnya, beliau akan dapat menerajui Maybank dalam fasa pertumbuhan seterusnya, berteraskan bidang fokus M25 seperti pendigitalan, kemampanan dan pemacu nilai baharu,” katanya.

Khairussaleh, 54, adalah Pengarah Urusan Kumpulan bagi Kumpulan Perbankan RHB, yang bertanggungjawab merangka hala tuju strategik Kumpulan dan memimpin organisasi tersebut mencapai matlamat dan objektif penciptaan nilai di bawah strategi lima tahun berakhir TK2022.

Sebelum menyertai Kumpulan Perbankan RHB, beliau bersama Maybank di antara November 2008 dan September 2013 dan telah berkhidmat selama tiga tahun sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan sebelum memegang jawatan sebagai Presiden Direktur dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank di Indonesia.

Semasa di Maybank Indonesia (ketika itu dikenali sebagai Bank Internasional Indonesia), beliau memperkenalkan program transformasi perniagaan yang akhirnya membawa kepada pemulihan perniagaan Bank tersebut, menghasilkan pertumbuhan keuntungan sebanyak 81% untuk Tahun Kewangan 2012.

Beliau juga menerima pengiktirafan ‘CFO Terbaik di Malaysia’ daripada Finance Asia pada 2010 dan 2011 dan Alpha Southeast Asia pada 2012.

Pengalaman sektor korporat beliau yang lain termasuk menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Strategi Kumpulan di Telekom Malaysia Berhad, Ketua Pegawai Eksekutif TM Ventures dan Ketua Pegawai Kewangan di Bursa Malaysia Berhad, yang mana beliau mengetuai penyenaraian syarikat tersebut di bursa pada tahun 2005.

Beliau juga pernah berkhidmat selama lapan tahun dengan Kumpulan Public Bank di bahagian Perbankan Korporat dan Pembrokeran Saham/Pembrokeran Futures.

Khairussaleh memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Washington dan merupakan graduan Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School. Beliau juga merupakan Felo Pegawai Bank Bertauliah bersama Institut Bank-Bank Bertauliah Asia (AICB).

Sementara itu, Tan Sri Zamzamzairani berkata, Lembaga Pengarah Maybankmerakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Farid, di mana tempoh tugasnya akan berakhir pada 30 April 2022, di atas sumbangan, perkhidmatan dan komitmen beliau yang luar biasa dalam membina sebuah organisasi berpandangan hadapan yang telah mendahului kebanyakan rakan serantau terutamanya dalam bidang digital dan kemampanan,” ujarnya. – MalaysiaGazette