Geostrategist Perdana School UTM, Azmi Hassan bercakap pada Forum Pelaburan China di Malaysia, Apa Isu Sebenarnya di Universiti Teknologi Mara Kampus Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 24 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Tindakan awal Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menarik diri bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat seperti langkah awal mengalah sebelum perang bermula.

Geostrategis & Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan berpandangan, tindakan tersebut tidak seharusnya berlaku.

“Muhyiddin merupakan presiden parti di peringkat pusat dan juga merupakan Pengerusi Bersatu Johor yang ada kerusi DUN.

“Jadi, beliau tidak boleh tarik diri dan perlu bertanding untuk memberi keyakinan kepada penyokong dan calon Bersatu yang lain,” katanya dalam program SKOP MG dengan tajuk ‘PRN Johor: Politik Atau Rakyat?’ malam tadi.

Azmi berkata, Muhyiddin mungkin tidak perlu lagi mempertahankan kawasan Gambir tetapi boleh ke kawasan lain.

“Umum tahu 30 peratus undi di kawasan tersebut adalah daripada kaum Cina, tetapi beliau boleh memilih kawasan lebih selamat.

“Ada banyak kawasan Bersatu boleh menang. Itu adalah penting untuk beliau bertanding,” katanya lagi.

Azmi Hassan dan Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ketika menjadi panel program SKOP MG malam tadi dan dihoskan Haslina AR Kamaludin.

Pada waktu sama, Azmi juga mengulas komentar pelayar di Facebook dan juga Youtube MalaysiaGazette berkenaan ‘abah tak sayang Johor’.

“Komen ini jelas menunjukkan keprihatinan rakyat kepada Muhyiddin, ia juga sinonim buat UMNO dan Johor.

“Inilah persepsi dan mainan fantasi apabila pelbagai komen yang diberikan.

“Seharusnya Bersatu tidak boleh mengalah daripada awal lagi.

“Melihat kepada kenyataan Bersatu bahawa Muhyiddin tidak mahu pertahankan Gambir, jelas awal-awal lagi parti ini mengangkat bendera putih,” jelasnya lagi.

Jelas Azmi, dengan tindakan sedemikian, UMNO pastinya menjadikan perkara ini sebagai senjata untuk mengkritik Bersatu.

“Mungkin Gambir ada risikonya, tetapi seperti saya katakan, ada banyak kawasan lain yang boleh dipilih oleh Muhyiddin,” katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin dilapor tidak akan mempertahankan kerusi DUN Gambir dalam PRN Johor dan akan menyerahkannya kepada tokoh lain.

Langkah itu adalah bagi membolehkan beliau menumpukan sepenuh masa kepada perkara lebih utama di peringkat Parlimen dan Pusat serta mengurus hal-hal berkaitan parti. -MalaysiaGazette