Abdul Ghafa Harun dihadapkan ke Mahkamah Seksyen 2, Kuantan hari ini mengaku tidak bersalah atas 42 pertuduhan rasuah.

KUANTAN – Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di atas 42 pertuduhan menerima suapan wang daripada dua individu berjumlah RM11,600 di Mahkamah Sesyen 2 di sini hari ini.

Tertuduh, Abdul Ghafa Harun, 57, sebelum itu  didakwa menerima wang RM200 hingga RM600 daripada dua individu berkenaan dalam tempoh Januari 2017 sehingga 3 Disember 2019 melalui pemindahan wang dalam talian ke akaun bank miliknya.

Abdul Ghafa bertugas sebagai anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang didakwa menerima wang tunai daripada dua individu yang diketahui ada kaitan dengan tugas rasminya.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan dibacakan  Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Nadzirah Zahari dan pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 bagi semua pertuduhan.

Peguambela tertuduh, Fakhrul Redha Paridul Adras bagaimanapun memohon agar mahkamah mempertimbangkan jumlah jaminan paling minimum atas alasan anak guamnya telah berkhidmat cemerlang selama 38 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan berkemungkinan digantung tugas selepas ini.

Selain itu Abdul Ghafa mempunyai pendapatan RM2,000 sebulan dan mempunyai tanggungan seorang isteri serta tiga orang anak di samping menghidapi masalah jantung dan kencing manis.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain memutuskan jumlah jaminan kekal RM10,000 serta memutuskan 9 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pihak mahkamah meletakkan serta syarat tambahan kepada tertuduh supaya melaporkan diri ke pejabat SPRM pada setiap bulan sehingga selesai dan perlu menyerahkan pasport antarabangsa. – MalaysiaGazette