Tangga Putrajaya di Taman Putra Perdana Presint 1, Putrajaya berjaya diiktiraf sebagai “The Longest Stairway In A Public Park”.-Foto FB PPj

PUTRAJAYA – Tangga Putrajaya di Taman Putra Perdana Presint 1, Putrajaya diiktiraf  sebagai “The Longest Stairway In A Public Park” oleh Malaysia Book of Record (MBOR).

Pengarah Komunikasi Korporat PPj Norzita Abdul Razak dalam kenyataannya berkata, Tangga Putrajaya seluas 1.2 ekar di atas cerun Taman Putra Perdana menarik perhatian pelancong seperti mana di Spanish Steps di Itali, Potemkin Stairs di Ukraine.

Tidak kurang juga Batu Caves di Malaysia yang menjadikan ia lokasi wajib singgah oleh pelancong-pelancong di seluruh dunia.

Tangga ini menghubungkan kawasan tumpuan pelawat iaitu dari Dataran Putra menuju ke Mercu Tanda dan ke Hotel Pulse Grande.

Ia memiliki 250 anak tangga dan berketinggian 30 meter serta memiliki jarak pendakian sejauh 200m dan sesuai dijadikan lokasi bersukan, beriadah dan berekreasi secara santai bersama keluarga dan pelawat.

Kiri kanan dan di tengah laluan tangga dihiasi pokok-pokok renek pelbagai warna yang memberikan pemandangan indah kepada pelawat.

Tangga Putrajaya telah mula dibina pada 5 Mei 2021 dan diserahkan sepenuhnya pada 5 Januari 2022.- MalaysiaGazette