Datuk Seri Najib Tun Razak. Foto MOHD ADZLAN, 07 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak pihak yang mendakwa kononnya UMNO telah mengkhianati Muafakat Nasional (MN) dan Pas kerana menolak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Najib berkata, ada pihak yang menggunakan alasan bahawa UMNO pernah bersetuju untuk mengajak Bersatu menyertai MN tetapi telah memungkiri janji, sebagai propaganda untuk menunjukkan UMNO tidak jujur.

Menurut Najib, UMNO mula merasai dikhianati oleh Bersatu tidak sampai tiga minggu selepas surat jemputan menyertai dihantar kepada parti itu bagi menyertai MN.

“Ya, surat jemputan kepada Bersatu pernah ditandatangan pada akhir bulan Ogos 2020 tetapi tak sampai tiga minggu kemudian, Perikatan Nasional (PRN) meletakkan calon untuk melawan Barisan Nasional di 17 kerusi DUN dalam PRN Sabah.

“PN juga meletakkan calon bebas di enam kawasan DUN yang ditanding BN untuk memecah undi kita.

“Bagaimanapun, BN masih memenangi jumlah kerusi terbanyak dengan 14 kerusi berbanding 11 kerusi DUN bagi Bersatu (yang sebenarnya semua adalah bekas pemimpin UMNO Sabah yang lompat ke Bersatu selepas PRU14). Sebab itu, UMNO rasa dikhianat,” kata Najib.

Menurutnya, pada PRN tersebut UMNO terpaksa melepaskan banyak kerusi tradisional BN yang mempunyai peluang tinggi untuk menang kepada Bersatu.

Tindakan itu adalah sebagai sebahagian daripada rundingan bahawa UMNO akan diberi jawatan Ketua Menteri sekiranya gabungan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional menang pada PRN Sabah.

Namun, Najib berkata, PN masih melawan BN di 17 kerusi dan meletakkan calon bebas di enam kerusi untuk memecahkan undi BN.

Tambah Najib, walaupun BN berjaya memperolehi jumlah kerusi DUN tertinggi namun jawatan Ketua Menteri Sabah telah dilantik daripada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu.

“Jadi, adakah kamu masih mahu gunakan propaganda bahawa UMNO yang mungkir janji dan khianat MN serta Pas sebab tidak teruskan untuk mengajak Bersatu sertai MN setelah kita sedar kita telah dikhianat oleh puak yang tidak jujur?” katanya.

Tambah beliau, UMNO tidak mempunyai sebab untuk bekerjasama dan berkawan dengan pihak yang mempunyai niat untuk menamatkan riwayat parti itu buat selama-lamanya dengan pelbagai cara termasuk menyogok ahlinya. – MalaysiaGazette