Muhammad Sanusi Md Noor

ALOR SETAR – Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) berjaya mencatatkan lebihan pelaburan sebanyak RM10.52 bilion atau 22 peratus melebihi sasaran awal RM8.6 bilion, manakala pelaburan yang direalisasikan melepasi sasaran awal sebanyak 138 peratus iaitu RM4.17 bilion di negeri ini, tahun lepas.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata dari segi penciptaan peluang pekerjaan, NCIA melepasi sasaran awal iaitu sebanyak 164 peratus atau 5,280 pekerjaan.

“Melalui Projek Strategik, Pelaburan dan Program Modal Insan NCIA, lebih 15,000 peluang pekerjaan telah diwujudkan di negeri Kedah dan telah menyokong lebih dari 3,000 usahawan mikro.

“Pada masa yang sama, lebih 5,000 perusahaan mikro dan PKS pula telah diberikan bantuan kewangan, dalam memastikan kesinambungan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri (JPN) hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, pendekatan NCIA terhadap pembangunan modal insan telah dirangka dalam Pelan Pembangunan Strategik NCER 2021-2025 (SDP NCER), untuk menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memacu perkembangan ekonomi berasaskan pengetahuan serta aktiviti berasaskan inovasi dan teknologi.

“NCIA memainkan peranan yang penting dalam membantu pemulihan sosioekonomi negeri Kedah dan memastikan Kedah kekal berdaya saing dalam menarik pelaburan asing dan domestik. Projek-projek strategik seperti ‘Kedah Rubber City’ (KRC) khususnya, dapat menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi getah bernilai tinggi serantau di ASEAN.

“YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan merasmikan Kedah Rubber City (KRC) minggu hadapan di daerah Padang Terap, Kedah. Setelah siap sepenuhnya, KRC akan memacu Malaysia sebagai peneraju industri getah. Ini akan memberi manfaat kepada rakyat Kedah 2 melalui peluang pekerjaan baru dan meningkatkan aktiviti ekonomi,” katanya.

Di samping itu, Muhammad Sanusi berkata, memandangkan keperluan global yang semakin meningkat untuk sarung tangan getah kelas perubatan, NCIA telah memudah cara kelulusan pelaburan bernilai RM10 bilion daripada pengeluar berteknologi tinggi, yang ingin meningkatkan kapasiti pengeluaran mereka di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) serta di Zon Ekonomi Sempadan Khas Bukit Kayu Hitam (BKHSBEZ).

“Kerjasama R&D dengan universiti tempatan juga sedang dirancang untuk membangun dan mengkomersialkan produk berasaskan nitril kelas perubatan bernilai tinggi, untuk pengeluaran produk getah berteknologi tinggi.

“Bagi meningkatkan ekonomi usahawan tempatan, Pusat Ekonomi dan Komuniti Bersepadu (iCON@NCER) telah diwujudkan di kawasan-kawasan yang kurang membangun, bagi meningkatkan aktiviti ekonomi setempat. iCON@NCER juga merupakan tarikan baharu yang bertujuan untuk mengurangkan jurang bandar-desa dengan memupuk sikap keusahawanan, menggalakkan penyertaan dan kerjasama tempatan,” katanya.

Menteri Besar Kedah itu berkata, dua projek perintis iCON di Baling dan Yan akan bermula tahun ini dan dijangka siap pada suku ketiga 2023, dengan NCIA kini memberi tumpuan dalam membangunkan usahawan perintis iCON melalui pelbagai program modal insan seperti entreprenuerNCER.

“Program ‘fast track’ seperti JomNiaga@NCER dan JomKerja@NCER yang telah dilaksanakan sejak Ogos 2020, memberi tumpuan kepada latihan semula dan meningkatkan kemahiran yang bersepadu dengan latihan kemahiran insaniah, untuk mengukuhkan daya saing peserta dalam pasaran kerja.

“Ini secara langsung menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan yang menganggur dan pekerja yang diberhentikan. Sehingga kini, program JomNiaga@NCER telah mewujudkan lebih daripada 500 peluang pekerjaan dan melahirkan 1,600 usahawan,” katanya.

Katanya, Program Modal Insan NCIA yang sedang dilaksanakan di Kedah iaitu enterpreneurNCER – Latihan dan Keusahawanan, NCER Talent Enhancement Program (NTEP) memberi manfaat kepada hampir 7,000 peserta yang terdiri daripada belia, wanita dan graduan menganggur.

“Peserta juga diberi kursus dan bimbingan mengenai keusahawanan dan bantuan kewangan untuk meringankan faedah ke atas pembayaran pinjaman,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) diteruskan tahun ini untuk memberi manfaat kepada 4,400 wanita yang mewakili isi rumah miskin tegar di Kedah, dengan membantu menangani kos sara hidup melalui sistem kad tanpa tunai untuk membeli barangan isi rumah daripada panel peruncit, dan mendapatkan rawatan kesihatan di klinik panel swasta.

“Selaras dengan sasaran RMKe-12 iaitu sifar miskin tegar menjelang 2025, peserta KIDA digalakkan untuk menyertai program empowerNCER dan JomNiaga@NCER di mana sehingga kini, 190 daripada mereka telah berjaya menjana pendapatan sendiri dan berada di landasan yang betul untuk meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif NCIA. Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, melalui program modal insan bersepadu NCIA yang bertujuan meningkatkan ekonomi dan ekosistem tenaga kerja di Kedah, pelabur akan dapat memanfaatkan rantaian bekalan tenaga kerja mahir yang komprehensif serta memanfaatkan rangkaian antara industri dan institusi pengajian tinggi.

“Selaras dengan Pelan Pemulihan Negara, lebih daripada 4,500 peluang pekerjaan akan diwujudkan untuk penduduk tempatan yang akan memberi impak positif kepada pembangunan sosioekonomi di Kedah,” katanya. – Bernama