KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menziarahi warga emas di Pusat Jagaan Selangor King George V Silver Jubilee Fund, di sini, sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada hari ini.
Beliau ditemani isterinya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin dan diiringi Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun.
Beliau yang tiba kira-kira jam 11.15 pagi meluangkan masa selama 30 minit beramah mesra dengan 33 warga emas wanita yang berada di pusat jagaan itu.
Ismail dan isteri turut memberikan limau dan ang pau kepada semua warga emas berkenaan.
Sementara itu, menurut Pemegang Amanah merangkap Pengerusi Exco Pusat Jagaan Warga Emas Selangor King George V Silver Jubilee Fund, Datuk Seri Yong Seng Yeow, semua warga emas yang berada di situ merupakan wanita berumur 60 tahun dan ke atas yang hidup sebatang kara.
“Masuk sini kena ada temu ramah sebab kita tidak mahu pusat jagaan ini dijadikan tempat anak-anak ‘membuang’ ibu. Selepas masuk sehingga hari terakhir kita beri layanan yang eksklusif.
“Mereka tidak perlu membayar kos sara hidup di sini,” katanya kepada media selepas sesi lawatan Perdana Menteri selesai.
Tambah beliau, pihak pengurusan pusat jagaan tersebut juga akan menunaikan wasiat terakhir semua warga emas khususnya bagaimana mereka mahu disemadikan.
Terdahulu Yong berkata, warga emas yang paling tua menjadi penghuni pusat jagaan yang ditubuhkan pada tahun 1936 berkenaan berusia 100 tahun. – MalaysiaGazette