Banglo yang didakwa milik Syed Saddiq.

KUALA LUMPUR – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan dakwaan beberapa pihak beliau memiliki sebuah banglo besar bernilai jutaan ringgit.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, banglo besar itu sudah disewa sejak beliau berkhidmat di Kementerian Belia dan Sukan.

Katanya, rasanya semua sudah tahu alamat rumah yang dibayar setiap bulan itu kerana perjumpaan, mesyuarat, jamu orang ramai semua buat di sini.

Malah, banyak hantarannya telah berkongsi alamat rumah ini.

“Banyak fitnah yang saya dapat beberapa hari ini. Sampai sanggup buat video mahal-mahal. Hari ini saya tunjuk sendiri rumah sewa saya. Saya telus, tak ada apa-apa nak sorok,” kata Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan pengguna Twitter yang memuat naik gambar banglo tersebut yang didakwa dilengkapi kolam renang mudah alih.

Pengguna media sosial itu turut mempersoalkan pengisytiharan harta sebanyak RM722,312 oleh Syed Saddiq pada 2019.

Syed Saddiq berkata, ketika bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), beliau merupakan menteri pertama mengisytiharkan jumlah aset peribadinya.

Beliau menjelaskan, semasa menjadi menteri, beliau ditawarkan tanah tapi ditolaknya malah rumah banglo menteri pun ditolaknya.

Sebaliknya beliau memilih untuk menyewa rumah tiga bilik dan semuanya dijadikan pejabat kecuali satu bilik untuk beliau berehat.

“Sinilah Command Centre Misi Banjir MUDA, sinilah tempat MUDA buat mesyuarat sebab MUDA tak ada office lagi.

”Macam saya ulang banyak kali, saya ni open book. Nak siasat, siasat lah. Nak lawat rumah ni, lawatlah. Dulu pun ada yang kononnya nak dedahkan projek dan tender KBS yang saya ambil buat untung – tapi sampai sekarang tak ada,” ujarnya.