Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Rata-rata anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bersetuju supaya memecat Datuk Zuraida Kamaruddin yang juga merupakan salah seorang daripada anggota MPT parti itu.

Persetujuan itu kerana Zuraida yang juga merupakan Menteri Industri Perladangan dan Komoditi didakwa terlibat dalam pembentukan Parti Bangsa Malaysia (PBM) secara langsung.

Untuk makluman, PBM merupakan sebuah parti yang telah diambil alih serta ditukar nama dari Parti Pekerja Sarawak selepas Pertubuhan Pendaftaran (RoS) telah meluluskan permohonan tukar nama dan pindaan perlembagaan parti pada 27 Oktober tahun lepas.

Zuraida juga pernah disebut-sebut mengetuai parti itu namun beliau menyangkalnya.

Selain Zuraida, ada beberapa lagi ahli Bersatu yang dijangka berdepan dengan tindakan pemecatan dalam masa terdekat.

Media melaporkan, cadangan tersebut telah dibangkitkan pada mesyuarat MPT pada 25 Januari lepas yang telah dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Zuraida dikatakan tidak hadir ketika cadangan itu dibincangkan.

Bagaimanapun belum ada apa-apa keputusan berhubung perkara tersebut, sebaliknya Zuraida telah diminta untuk memberikan penjelasan berhubung dakwaan tersebut.

Pada mesyuarat Agung Luar Biasa PBM 14 November lepas, PBM meluluskan pelantikan barisan kepimpinan baharu melibatkan dua ahli parlimen bebas bekas PKR iaitu Larry Sng (Julau) dan Steven Choong (Tebrau) dengan masing-masing memegang jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden.

Jawatan Presiden ditinggalkan kosong dan berterusan menimbulkan spekulasi namun pada mesyuarat Agung khas PBM pada awal tahun ini, Larry Sng pula dilantik Presiden ‘sementara’ manakala Steven pula Naib Presiden.

Bekas Setiausaha Politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad pula dilantik menjadi Setiausaha Agung, selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Haniza Mohd Talha pula dilantik Timbalan Presiden PBM.

Zuraida juga pernah menjadi Naib Presiden PKR sebelum dipecat bersama-sama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas terlibat dengan ‘Langkah Sheraton’ sehingga jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) dua tahun lepas.

Beliau kemudian menyertai PPBM namun sejak awal lagi sudah ada khabar angin Zuraida bakal menubuhkan sebuah parti baharu bersama-sama pengikut yang sehaluan dengannya.

MalaysiaGazette sedang cuba mendapatkan Zuraida bagi menjawab dakwaan ini. -MalaysiaGazette