MELAKA – Hanya dalam tempoh lima hari polis Melaka mengeluarkan 4,279 saman bernilai lebih RM1.28 juta atas pelbagai kesalahan terhadap pengguna jalan raya di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, angka itu adalah hasil operasi Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina 2022 bermula 28 Januari lalu sehingga semalam.

Menurutnya, dalam tempoh itu sebanyak 226,178 kenderaan masuk ke negeri ini dengan purata kemasukan sehari lebih 42,000 kenderaan berbanding 189,001 kenderaan keluar melalui tiga pintu masuk plaza tol ke negeri ini.

“Melalui Ops Selamat 17 bermula 28 Januari lalu sehingga semalam, JSPT Melaka telah memeriksa 3,137 kenderaan melalui 27 operasi dan mengeluarkan 4,279 saman, meningkat 366 saman berbanding Op Selamat 16 pada 2020.

“Nilai dikenakan setiap saman adalah RM300 kerana Op Selamat tiada pengurangan menjadikan keseluruhan saman bernilai lebih RM1.28 juta,” katanya pada sidang media selepas mengetuai Op Selamat 17 di Plaza Tol Ayer Keroh di sini hari ini.

Mengulas lanjut Hasan berkata, dalam tempoh sama sehingga semalam turut menyaksikan 261 kemalangan berlaku di seluruh negeri ini termasuk satu kemalangan maut.

“Daripada 261 kemalangan, 56 berlaku di lampu isyarat apabila pengguna memotong barisan mengakibatkan 10 mangsa parah manakala 46 lagi cedera ringan.

“Punca mereka memotong barisan adalah kerana sikap tidak bersabar menunggu giliran sehingga menyusahkan pengguna jalan raya yang lain,” katanya. – MalaysiaGazette