Amirudin Shari

SHAH ALAM – Sehingga pagi ini, kerajaan Selangor menerima kira-kira 109,000 permohonan daripada keluarga yang terlibat dengan banjir pada penghujung tahun lalu untuk mendapat Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari ketika memaklumkan perkara itu berkata, dua daerah paling banyak permohonan diterima iaitu 77,000 keluarga dari Klang dan 10,000 hingga 12,000 keluarga dari daerah Petaling.

Tujuh daerah lagi katanya, permohonan yang diterima bawah 1,000 keluarga.

“Bagi BSB, setiap keluarga akan menerima bantuan sebanyak RM1,000, manakala keluarga yang kehilangan ahli keluarga diberikan RM10,000.

“Sehingga tengah hari semalam, seramai 55,425 keluarga dan 13 keluarga kehilangan ahli keluarga telah menerima bantuan melibatkan sembilan daerah di Selangor.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang telah disalurkan kepada mangsa yang terkesan akibat banjir ialah RM55.555 juta,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, petang ini.

Menurut Amirudin, terdapat sejumlah peruntukan permohonan di daerah Klang dan Petaling yang belum menerima bantuan BSB.

Malah, kata beliau, masih ada keluarga yang hadir di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk menyuarakan rasa ketidakpuasan hati atas kelewatan menerima bantuan.

“Saya mohon maaf atas kelewatan itu. Ada beberapa sebab iaitu berlaku kes tambahan permohonan yang tinggi di Klang dan Petaling serta pemohonan lebih daripada sekali.

“Di daerah Klang sahaja kita terima permohonan sebanyak 77,000 atau keluarga. Sebab itu kita perlukan masa untuk lulus, kerana perlu melalui saringan permohonan.

“Bagi daerah Petaling, kita perlukan sehingga akhir minggu depan untuk selesai semuanya kerana jumlah permohonan sekitar 10,000 hingga 12,000 keluarga,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, untuk daerah Klang, kerajaan negeri masih menyaring kira-kira 30,000 permohonan yang berbaki dengan kapasiti saringan sekitar 1,000 sehari.

Beliau berkata, pihaknya akan meningkatkan kadar saringan antara 2,000 hingga 3,000 sehari bermula minggu depan, iaitu sebaik sahaja saringan bagi daerah lain yang bawah RM1,000 permohonan, selesai.

“Kita jangkakan semua akan dapat bantuan ini pada akhir Februari ini,” katanya. – MalaysiaGazette