Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin - Foto HAZROL ZAINAL, 18 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin tidak faham dengan tuduhan Ahli Parlimen UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Bersatu telah mengkhianati UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan menjadi punca kegagalan Muafakat Nasinal.

Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata, apa yang berlaku dalam PRN Sabah bukanlah sebab kegagalan Muafakat Nasional dan meminta Najib untuk tidak memutarbelitkan fakta.

“Saya fikir Datuk Seri Najib elok ambil masa memuhasabah diri. Tak usahlah bermain politik jelik. Anda telah didapati bersalah oleh mahkamah atas satu kesalahan jenayah yang berat. Sepatutnya ada sedikit rasa malu.

“Dalam Islam, malu itu adalah sebahagian daripada iman. Tetapi malangnya di dalam Umno, seorang yang telah disabitkan dengan kesalahan jenayah yang disifatkan sebagai ‘national embarrassment‘ oleh mahkamah diangkat sebagai boss dan dilaungkan slogan malu apa bossku. Di mana letaknya keimanan? Di mana maruah?” kata Muhyiddin.

Dalam hantaran di media sosialnya hari ini, Muhyiddin berkata, beliau sudah melupakan Muafakat Nasional dan perkara itu tidak perlu diungkit lagi.

Tambahnya, Bersatu juga telah membuat keputusan untuk tidak menyertai Muafakat Nasional.

“UMNO pun telah buat keputusan dalam Perhimpunan Agungnya untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu. Jadi apa lagi yang hendak diungkit?

“Ada hikmah Bersatu tidak bekerjasama dengan UMNO. Jadi Bersatu tidak terpalit dengan masalah moral yang membelenggu pemimpin UMNO.

“Secara peribadi saya malu untuk dikaitkan dengan parti yang masih mengangkat seorang yang telah didapati bersalah oleh mahkamah atas satu kesalahan jenayah berat sebagai boss!” katanya.

Muhyiddin menjelaskan, secara fakta tidak ada satu pun kerusi menyaksikan calon Bersatu melawan UMNO dalam PRN Sabah.

Menurut Muhyiddin dalam mesyuarat yang dipengerusikannya untuk menetapkan pembahagian kerusi, beliau dengan jelas menyatakan pentingnya untuk untuk PN, BN dan PBS mengelakkan pertembungan sesama sendiri dalam PRN Sabah.

Muhyiddin berkata, beliau sendiri turun ke Sabah apabila berlaku pertembungan antara calon BN, PN dan PBS dan mahu melakukan rundingan saat akhir bagi mengelakkan pertembungan sesama parti.

ARTIKEL BERKAITAN:

Khianat pada PRN Sabah punca kegagalan kerjasama UMNO, Bersatu – Najib

“Malangnya, mesyuarat ini gagal mencapai kata sepakat kerana masing-masing bertegas untuk meletakkan calon di kerusi-kerusi yang ditandingi oleh parti-parti rakan yang lain.

“Pada saat ini, Bersatu adalah satu-satunya parti yang tidak meletakkan calon di kerusi-kerusi yang ditandingi oleh rakan-rakan dalam PN, BN dan PBS. PAS pula mengambil langkah terhormat dengan tidak bertanding di mana-mana kerusi.

“Jadi saya tidak faham dengan tuduhan Datuk Seri Najib bahawa Bersatu mengkhianati UMNO dalam PRN Sabah dengan meletakkan calon menentang UMNO dan itu menjadi punca Muafakat Nasional gagal,” katanya.

Muhyiddin turut menjelaskan mengenai kekusutan berkaitan nama calon Ketua Menteri Sabah daripada UMNO.

Menurut Muhyiddin, beliau telah meminta Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya menamakan calon dari UMNO namun Presiden UMNO itu tidak berbuat demikian sehinggalah kempen PRN Sabah berakhir.

“Kerana itu saya telah menamakan Datuk Seri Panglima Hajiji sebagai calon KM Sabah daripada PN sekiranya PN memenangi jumlah kerusi yang terbesar dalam kalangan parti-parti yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) .

“Dalam PRN Sabah, PN menang 17 kerusi, BN 14 kerusi dan PBS 7 kerusi. Ini menjadikan PN sebagai parti yang memenangi jumlah kerusi terbanyak dalam kalangan parti-parti GRS.

“Maka PN telah mencalonkan Datuk Seri Panglima Hajiji sebagai KM Sabah dan pencalonan ini dipersetujui oleh ADUN-ADUN GRS termasuk UMNO.

“Adakah saya khianat? Saya tidak khianat. Saya beritahu UMNO supaya menamakan calon. Sekiranya UMNO tiada calon, saya ada calon yang ingin diketengahkan. Saya bersikap telus dan berterus terang dengan UMNO,” kata Muhyiddin.

Najib yang juga bekas Perdana Menteri sebelum ini mendakwa UMNO berasa dikhianati selepas Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon di 17 kerusi dan enam calon bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi memecah undi Barisan Nasional (BN).

Katanya, perkara itu berlaku tidak sampai tiga minggu selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diberi surat jemputan pada akhir bulan Ogos 2020 bagi menyertai Muafakat Nasional (MN). – MalaysiaGazette

 

2 Komen

  1. Bullshit! Masa ko gila nak jd PM pintu belakang, ko tak malu plak utk mengemis undi UMNO dan Najib? Mcm musibat punya manusia.. PM paling gagal dlm sejarah Malaysia lg memalukan!

  2. Langkah sungsang akan berakhir dengan kecundang. Kalau najib perlu muhasabah diri abah pun perlu juga muhasabah diri. . Langkah sharaton itu sebagai bukti pn terbentuk atas khianat kepada kawan yang sepakat .

Comments are closed.