KUALA LUMPUR – Kecewa dan bosan ditindas dan hak pekerja dicabul, lebih 35 wanita menunggang motosikal secara berkumpulan dari Pulau Pinang ke Putrajaya untuk menemui Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Mereka yang merupakan ahli Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta  Perkhidmatan Sokongan di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (Nuwhsas) berkonvoi bagi menyerahkan memorandum melindungi hak pekerja pembersihan hospital kerajaan yang berkhidmat secara kontrak.

Wanita terbabit menggunakan motosikal untuk ke pusat pentadbiran kerajaan pusat kerana 80 peratus pekerja pembersih di hospital kerajaan pergi kerja dengan menunggang motosikal, malah ia merupakan kenderaan utama bagi mereka.

MalaysiaGazette difahamkan tuntutan itu melibatkan pemansuhan sistem kontrak, memberikan elaun Covid-19 kepada semua kakitangan hospital kerajaan dan menghentikan sebarang ugut- mengugut ahli yang terlibat dalam perjuangan kesatuan.

Presiden Nuwhsas, Rozah@Raziah Mohd. Hashim mendakwa, ketika ini sistem bekerja telah mendatangkan masalah kepada pekerja kerana ia membuka ruang kepada majikan untuk menindas kakitangan dan mencabul jaminan pekerjaan.

“Untuk makluman semua, oleh kerana gaji pekerja-pekerja ini rendah iaitu hanya RM1,200 sebulan dan sistem kontrak yang diperbaharui setiap satu ke dua tahun juga menyebabkan mereka amat sukar untuk dapatkan pinjaman dari bank membeli kenderaan lain seperti kereta atau rumah.

“Tunggang motosikal juga adalah simbolik kepada sistem kontrak betapa mengeksploitasi golongan pekerja B40 dengan teruk dan mendedahkan keadaan pekerja seperti kami yang merupakan ‘hamba moden’ serta ‘hamba hutang,” katanya dalam kenyataan.

Antara 2015 hingga 2021, Nuwhsas menyerahkan lima memorandum kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menjaga kebajikan pekerja-pekerja pembersih di hospital-hospital kerajaan namun tiada maklum balas diterima setakat ini.

Dalam pada itu, Raziah memberitahu, konvoi ini akan mengambil masa selama empat hari untuk tiba di Putrajaya pada Selasa depan.

Jelasnya, sepanjang perjalanan, mereka akan berhenti sekurang-kurangnya di 18 hingga 20 lokasi hospital bagi memungut suara hati dan keluhan golongan itu.

“Sepanjang perjalanan, wakil kesatuan akan melawat semua hospital dalam perjalanan kami dan kumpul masalah-masalah serta pesanan dari pekerja-pekerja dan serahkan kepada Khairy,” ujarnya. – MalaysiaGazette