Gelagat kanak-kanak yang menerima suntikan vaksin Covid-19 sempena Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak 'PICKids' ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 03 FABRUARI 2022.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Selepas mencatatkan sejumlah 9,117 kes positif Covid-19 semalam, hari ini jumlahnya sudah melepasi 10,000 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan Selangor merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 2,549 kes.

Pecahan setiap negeri (kumulatif) melibatkan Selangor (2,549); Johor (1,582); Sarawak (58); Sabah (1,285); Kuala Lumpur (491) dan Kedah (904).

Bagi Kelantan  pula melibatkan 471 kes; Pulau Pinang (542), Perak (321), Negeri Sembilan (464); Pahang (624); Terengganu (213); Melaka (457); Labuan (23); Putrajaya (61) dan Perlis (44).

Jumlah kumulatif kes positif Covid-19 sehingga hari ini adalah 2,914,220 kes, kata Dr. Noor Hisham dalam ciapan Twitternya hari ini.

Untuk rekod, kali terakhir negara mencatatkan kes sehingga 10,000 kes adalah pada 2 Oktober tahun lalu dengan 10,915 kes direkodkan.

“Daripada 10,089 kes harian yang dilaporkan pada hari ini 77 kes (0.8 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 10,012 kes (99.2 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” jelas Noor Hisham lagi.

Daripada jumlah itu, 9,946 kes adalah kes penularan tempatan dengan 9,676 kes melibatkan warganegara dan 270 lagi bukan warganegara.

Sejumlah 143 kes import direkodkan dengan 67 daripada adalah warganegara danm 76 bukan warganegara.

Menurut Noor Hisham, jumlah yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 137 kes dengan 83 kes disdahkan posaitif, 54 disyaki.

Kes memerlukan bantuan alat pernafasan pula direkodkan sebanyak 71 kes.

Dalam pada itu, jumlah kes sembuh daripada positif Covid-19 adalah berjumlah 6,460 menjadikan jumlah kumulatif adalah pada paras 2,812,614 kes.

Turut dimaklumkan adalah penemuan 11 kluster baharu menjadikan jumlah keseluruhan kluster sehingga kini adalah 6,499 kluster.

Daripada jumlah itu, sejumlah 6,138 kluster telah ditamatkan dan 361 kluster masih aktif. – MalaysiaGazette