Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta berwaspada dan tidak terpedaya dengan penyebaran berita palsu yang meminta warga emas supaya tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, mesej itu tular di media sosial baru-baru ini dengan tujuan bagi mengelakkan penyebaran Covid-19 dalam kalangan kumpulan tersebut.

Katanya, peringatan ini penting bagi mengelakkan kekeliruan dan suasana panik dalam kalangan masyarakat yang boleh mencetuskan situasi yang tidak diingini.

Justeru, orang ramai adalah dinasihatkan untuk mendapatkan informasi terkini dan menentusahkan maklumat-maklumat yang diterima daripada sumber rasmi terutamanya melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ataupun melalui portal Sebenarnya.my.

Tindakan tegas juga boleh diambil oleh pihak berkuasa terhadap mereka yang menyebarkan berita-berita tidak benar di bawah peruntukan undang-undang
sedia ada. – MalaysiaGazette