KUALA LUMPUR – Sebanyak 63 kes kematian melibatkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah akibat Covid-19 berlaku di negara ini.
Menurut Pakar Perunding Pediatrik Hospital Tunku Azizah, Dr Sabeera Begum, tempoh itu direkodkan pada pertengahan tahun lalu bermula Julai hingga Disember.
“Sepanjang Julai hingga Disember 2021, ada 270,000 kanak-kanak di bawah 12 tahun disahkan positif dan 63 daripada mereka meninggal dunia.
“Jumlah itu agak tinggi, jadi amat penting untuk kita memastikan kanak-kanak yang mudah dijangkiti.
“Sebanyak 63 kes ini adalah berkaitan dengan kanak-kanak yang mempunyai komobiliti seperti berat badan berlebihan,” katanya ketika menjadi seorang ahli panel sesi libat urus bersama media dengan PICKids dan laporan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) oleh Kementerian kesihatan (KKM) hari ini.
Jumlah itu kata Dr. Sabeera, disebabkan kanak-kanak berkenaan terdedah dengan komplikasi serius akibat dijangkiti virus itu, khususnya sindrom keradangan pelbagai sistem dalam kanak-kanak (MISC).
Malah katanya, dalam kajian di 14 hospital kerajaan di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan antara November 2021 hingga bulan lalu mendapati sejumlah 174 kes MISC dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak.
Dalam pada itu, Dr Sabeera berkata, MISC berlaku apabila radang yang teruk pada seluruh tubuh kanak-kanak selepas dijangkiti Covid-19.
Antaranya adalah jantung, paru-paru, otak, buah pinggang, mata dan kulit menyebabkan mereka perlu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Ada kanak-kanak ini dijangkiti Covid-19 kategori satu dan dua, namun MISC berlaku akibat virus ini dan akhirnya membawa kepada kematian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette