KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menampilkan sebuah drama bersiri berbentuk kekeluargaan dan cinta berjudul Nurlaila.

Ia akan mula bersiaran pada 16 Februari ini dan setiap Isnin hingga Khamis pukul 6 petang di TV1.

Menurut satu kenyataan, drama itu menampilkan gandingan pelakon utama Aedy Ashraf dan Hana Aqeela.

Drama 26 episod arahan Heykal Hanifah ini turut dibintangi Amyza Aznan, Zamarul Hisyam, Kamarool Hj Yusoff, Rusdi Ramli, Ku Fridah, Neera Azizi, Farahdhiya, Nor Albaniah, Fimie Don dan Ruminah Sidek.

Drama berkenaan berkisar perjalanan kisah hidup pemuda bernama Imran, anak orang kaya sering bergaduh dengan ayah tirinya, Khalid kerana tidak setuju dengan sikap ayahnya yang selalu mempersiakan ibunya, Aina yang sedang menderita penyakit barah otak.

Imran dan ayahnya sering bertelagah dan tidak pernah sependapat.

Aina seringkali mencuba sedaya upaya untuk menjernihkan hubungan anak beranak itu.

Di luar pengetahuan Aina, Khalid menjalin hubungan sulit dengan Sara, setiausaha di syarikat milik mereka.

Ketika Imran memutuskan keluar dari rumah untuk menenangkan diri, dia secara tak sengaja bertemu dengan gadis kampung bernama Nurlaila.

Nurlaila sebenarnya sedang melarikan diri daripada konco bapa ayam, Pak Tono yang ingin menjualnya sebagai pelacur dan kemudiannya diselamatkan Imran dan Niurlaila rasa terhutang budi terhadap Imran.

Imran kemudiannya memberikan sejumlah wang kepada Laila dan menyuruhnya pulang ke kampung.

Laila sebaliknya serba salah kerana takut orang-orang suruhan Pak Tono memburunya sehingga ke kampung dan konfilik tidak berkesudahan.

Bagaimana kesudahan kisah cinta Imran dan Laila? Ikuti penamat ceritanya di TV1 dan drama ini juga dapat ditonton menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my) dan rtm mobile.-MalaysiaGazette