Foto Twitter MHC.

KUALA LUMPUR – Lima pemain muda yang beraksi pada Piala Dunia Lelaki 2021 tahun lalu berjaya menambat hati Ketua Jurulatih skuad kebangsaan A. Arulselvaraj apabila antara 28 pemain yang disenaraikan bagi menghadapi pelbagai kejohanan hoki antarabangsa tahun ini.

Mereka adalah tonggak pertahanan Muhammad Arif Shafie Ishak, tiga pemain tengah iaitu Muhammad Amirul Hamizah Azahar, Syarman Mat Tee dan Alfarico Lance Liau Jr serta penyerang, Muhajir Abdul Rauf.

Seorang lagi pemain tengah, Tengku Nasrul Ikmal Tengku Abd Rahim yang beraksi untuk Pahang pada Piala Tun Abdul Razak 2021 berjaya menambat hati barisan kejurulatihan negara bagi penampilan sulung bersama skuad negara dalam pertandingan antarabangsa.

Arulselvaraj berkata, prestasi pemain yang disenaraikan itu akan terus dipantau sepanjang kempen kejohanan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2022 bermula 18 Februari hingga 31 Mac ini dan mereka perlu membuktikan kemampuan masing-masing untuk terus kekal dalam pasukan.

A. Arulselvaraj.

“Penilaian pemain tidak hanya kepada pemain kebangsaan sahaja, tetapi saingan liga ini juga merupakan peluang untuk pemain lain membuktikan diri mereka bagi mencabar tempat dalam pasukan kebangsaan.

“Saya berpesan kepada pemain bahawa mereka perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya kepada pasukan yang mereka wakili serta prestasi sepanjang kejohanan berlangsung.

“Saya bukan hanya melihat kepada permainan hoki mereka tetapi juga tahap kecergasan fizikal, ketahanan dan kematangan mereka terutamanya ketika perlu membuat keputusan di dalam padang. Jadi mereka perlu buat kerja lebih.

“Untuk pemain kebangsaan juga saya akan melihat jadual liga yang akan dikeluarkan nanti dan saya akan menyusun sesi latihan khas untuk mereka.

“Saya akan berhubung dengan pasukan-pasukan yang mereka wakili untuk memaklumkan mengenai perancangan sesi latihan pasukan kebangsaan,” jelasnya dalam satu kenyataan MHC pada Isnin, semalam. – MalaysiaGazette