KUALA LUMPUR – Seiring dengan kepesatan teknologi digital yang melanda negara kini, Perdana Menteri menggesa agar Keluarga Malaysia memainkan peranan masing-masing.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat negara ini digesa membentuk sahsiah dan kawal kendiri ke arah menyemai kesepaduan komuniti.
“Saya menyeru kepada Keluarga Malaysia supaya terus memupuk sikap kebertanggungjawaban ke atas diri sendiri dan orang lain dengan mengamalkan kaedah Komunikasi, mengambil kira Inklusif dan Tanggungjawab di samping meningkatkan keAkraban bagi membentuk komuniti digital yang harmoni,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata demikian sempena sambutan Hari Keselamatan Internet 2022 edisi Malaysia yang bertemakan K.I.T.A Siber.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, penggunaan teknologi maklumat semakin berkembang ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
“Keadaan ini menyebabkan berlakunya transformasi pada pola komunikasi dan sosial, norma baharu. Namun, situasi ini telah menyebabkan kebanyakan kita alpa dalam untuk menjaga adab dan etika walaupun dalam dunia siber.
“Teknologi digital banyak membantu serta melancarkan aktiviti kita, tetapi penyalahgunaan teknologi masih berlaku termasuklah dalam penggunaan Internet dan media sosial oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, sehingga muncul pelbagai jenis ancaman serta jenayah siber,” katanya. – MalaysiaGazette