Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – Kerja membaik pulih pulih bumbung empat blok pangsapuri Taman Melati di Setapak yang terjejas akibat dilanda ribut agak perlahan ekoran cuti panjang sempena Tahun Baharu Cina.

Ia diakui sendiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Bagaimanapun, ia masih diteruskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kini kerja-kerja baik pulih masih berjalan.

Menurutnya, kerja-kerja pemasangan kain kanvas  telah dibuat untuk mengelak daripada kediaman terlibat dimasuki air hujan.

“Saya telah berjumpa dengan Yayasan Wilayah Persekutuan sebelum ini dan mengarahkan tindakan baik pulih diambil serta-merta.

“Semalam, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaludin Alias juga telah melawat tempat berkenaan dan kerja pembaikan sudah berjalan, cuma belum siap.

“Siapa ingin buat provokasi, tiada masalah tetapi kita buat kerja. Tindakan baik pulih di Wilayah Persekutuan ketika ini sangat cepat dan boleh dilihat dalam tempoh sebulan ini. Saya tegaskan memang kerja baik pulih sedang berjalan,” katanya pada pemberita selepas meninjau program Agrobazaar dan Karnival Food Truck Putrajaya di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Persatuan Penduduk Kawasan 4A Taman Melati, Setapak, Mohd Azhar Md Rosdy berkata, pihaknya diberi jaminan daripada Shahidan untuk menyegerakan pemasangan bumbung baharu.

Namun situasi itu, ibarat melepaskan batuk di tangga kerana hanya kanvas sahaja dipasang sedangkan ia tidak mampu menghalang air hujan memasuki kediaman penduduk.

Pada 24 Januari lalu, kira-kira 40 unit rumah di Pangsapuri Taman Melati mengalami kerosakan bumbung akibat angin kencang dan hujan lebat. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Arahan Menteri segerakan baik pulih pangsapuri dilanda ribut gagal dipatuhi? – Azhar