Rais selepas Majlis Perasmian Akademi Ragbi Melaka, yang turut dihadiri Presiden Melaka Rugby Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

MELAKA – Akademi Ragbi Melaka menjadi akademi pertama di peringkat pendidikan ditubuhkan di negara dalam usaha melahirkan pelapis sukan berkenaan pada masa hadapan.

Exco Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, buat permulaan seramai 40 murid Tingkatan 1 hingga 5 dari semua sekolah di Melaka dipilih mengikuti latihan akademi terbabit di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Rugbi Melaka berkata, penubuhan akedemi terbabit sekaligus menjadikan yang pertama di negara ini ditubuhkan di bawah Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bersama Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN).

“Di bawah Akademi Rugbi Melaka, pemilihan dibuat melalui Talent Identification (TID) yang mana penyertaan terbuka kepada semua pelajar sekolah yang berminat dan jurulatih adalah dalam kalangan guru aktif dalam sukan lasak ini.

“Saya harap, akademi ini akan menjadi pemangkin kepada sukan-sukan lain khususnya di Melaka yang mana saya yakin dan percaya selepas kejayaan di peringkat menengah, pelajar-pelajar ini akan diserap oleh Pasukan Ragbi Melaka untuk keperingkat seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Akademi Ragbi Melaka, yang turut dihadiri Presiden Melaka Rugby Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Mengulas lanjut, akademi berkenaan mempunyai perancangan yang besar di peringkat kebangsaan melalui kertas kerja yang sedang disiapkan.

“Bagaimanapun akademi ini berbeza dengan sekolah sukan yang mana kita fokus pada rugbi sahaja dan ianya sama seperti sekolah harian biasa yang berasrama.

“Pelajar jika cemerlang dalam sukan rugbi dan akademik mereka akan diserap terus ke Institusi Pengajian Tinggi yang mempunyai skuad rugbi,” katanya.- MalaysiaGazette