Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sejumlah 280 kes baharu varian membimbangkan (VOC) dikesan Kementerian Kesihatan (KKM) dari 3 Februari hingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sejumlah 185 kes adalah varian Delta dan bakinya 95 kes adalah Omicron.

“Integrative Pharmacogenomics Institute, Universiti Teknologi MARA (iPromise, UiTM) telah mengenalpasti 188 kes baharu, UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI) telah mengenal pasti 46 kes baharu manakala Institute for Medical Research (IMR) telah mengenal pasti 46 kes baharu.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 7,398 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Daripada jumah itu, sejumlah 7,378 kes adalah VOC manalaka 20 kes lagi adalah varian mempunyai kepentingan (VOI).

Menurut Dr. Noor Hisham, sehingga kini sejumlah 6,436 kes varian Delta direkoskan di negara ini, sementara 696 kes varian Omicron, 233 varian Beta dan 14 varian Alpha.

“Bagi kes-kes VOI, terdapat sebanyak 13 varian Theta, empat varian Kappa dan tiga kes varian Eta,” jelasnya.

Dalam pada itu, sebanyak 17,004 kes positif yang direkodkan hari ini adalah melibatkan penularan tempatan dengan 16,601 kes adalah daripada warganegara manakala 403 lagi bukan warganegara.

Dr. Noor Hisham memaklumkan kes positif Covid-19 di negara ini mengalami peningkatan kepada 17,134 kes hari ini.

“Daripada 17,134 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 86 kes (0.5 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 17,048 kes (99.5 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” jelasnya.

Sejumlah 130 kes import dikesan di negara ini hari ini dengan 73 daripadanya melibatkan warganegara dan 57 lagi bukan warganegara.

Jelas Dr. Noor Hisham lagi, sejumlah 143 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 83 daripada sudah disahkan positif manakala 60 lagi kes adalah disyaki.

Sementara itu, sejumlah 78 kes memerlukan bantuan alat pernafasan dengan 35 daripadanya adalah positif dan 43 kes lagi kes yang disyaki.

Di sebalik peningkatan kes positif hari ini, sejumlah 5,681 kes sembuh sepenuhnya daripada posotif Covid-19 dimaklumkan KKM hari ini. – MalaysiaGazette