Mohd Roslan Sulaiman

KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) menggariskan 11 aspirasi penting bagi memacu kecemerlangan institusi sebagai sebuah Menara Ilmu bagi 2022.

Naib Canselornya, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, 11 aspirasi itu ialah Menakhoda Pertanian dan Pusat Rujukan Pengembangan, melahirkan pelajar sebagai sosok warganegara yang baik dan merealisasikan Kampus Pintar.

Ia juga melibatkan aspirasi memartabat penyelidikan untuk negara, menjuarai universiti untuk masyarakat, merancakkan UPM Global, mengekalkan reputasi UPM sebagai universiti paling lestari.

“Turut terkandung dalam 11 aspirasi itu ialah memugar cakna, menjulang bakti, memperhebat prakarsa kesejahteraan kampus, membingkas pendanaan universiti dan melibat sama alumni untuk kelangsungan universiti.

“Tahap kesejahteraan warga UPM penting dalam usaha melonjak pencapaian dan kecemerlangan universiti,” katanya ketika menyampaikan Naratif Naib Canselor bertajuk “Sederap Melangkah Menuju Al-Falah” di sini, hari ini.

Pada majlis itu, kakitangan universiti yang aktif dalam advokasi awam di media diberi pengiktirafan dalam Anugerah Visibiliti Media 2021.

Menurut Dr. Mohd Roslan, bagi penambahbaikan suasana kerja pegawai akademik yang lebih sejahtera, UPM pada dasarnya telah bersetuju memperakukan cadangan meminda peraturan kehadiran mereka di universiti.

“Dalam hal ini, pegawai akademik atau pensyarah dibenarkan untuk remote working dan merakam kehadiran dari luar kampus untuk dua hari dalam seminggu.

“Manakala tiga hari selebihnya perlu hadir bekerja dan merekodkan dalam sistem perakam di universiti,” katanya.

Beliau menjelaskan, sebagai sebuah universiti mempunyai bidang tujahan (nic) pertanian, UPM akan terus memacu pertanian pintar.

Katanya, UPM bakal menawarkan Program Bacelor Teknologi Pertanian Pintar bermula Semester 1, Sesi 2022/2023, yang memperoleh akreditasi daripada Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) dan akan ditawarkan dalam Mod Pelbagai Mod Kerja Kursus dan Mod Industri.

Kurikulum program itu dibangunkan berdasarkan pekerjaan sebenar melibatkan pengoperasian teknologi pintar dan integrasi sistem digital dan memberikan penekanan khusus kepada pendekatan Berdasarkan Tugas (task-based).

Menurut beliau lagi, program itu dijangka dapat melahirkan teknologis pertanian berpengetahuan dan kompeten untuk mengendalikan teknologi pertanian pintar yang lestari serta dapat membangun dan mengurus pengeluaran pertanian berasaskan sistem itu.

Mengambil manfaat pendigitalan, UPM turut memperkenalkan aplikasi Mobile Apps Smart Putra®Staf.

“Aplikasi ini membolehkan semua staf UPM mengurus selia urusan cuti, perakam waktu, slip gaji, penilaian risiko Covid-19 dan pelbagai kemudahan berkaitan keperluan staf melalui telefon Android atau iOS.

“Selain itu, UPM berusaha menyantuni kebebasan berpolitik pelajar kesan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan pelaksanaan Undi-18 dengan pemerkasaan literasi politik dalam kalangan pelajar universiti.

“Dalam hal ini, UPM akan sentiasa berusaha memantapkan literasi politik dalam kalangan pelajar melalui pelbagai kaedah dan pendekatan,” katanya.

Dr. Mohd Roslan berkata, antara pendekatan ialah memberikan penekanan pada pembentukan nilai bersama dalam kebebasan berpolitik pelajar berdasarkan nilai teras universiti.

Selain itu, katanya, Unit Literasi dan Advokasi Politik di bawah Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) telah ditubuhkan untuk menjalankan kajian dan advokasi awam berkaitan penyertaan politik anak muda, khususnya Undi-18.

“Kita berharap unit ini dapat berperanan sebaik mungkin dalam memastikan Undi-18 menjadi suatu proses penting ke arah pembinaan negara bangsa.

“Seiring dengan peranan alumni sebagai pemangkin kecemerlangan UPM, satu lagi projek besar dan bakal mencipta sejarah dengan menakluk Puncak Everest.

“Ravichandran Tharumalingam (Alumni Kelas 1990) bakal membawa UPM di puncak dunia@Everest dalam Misi Ekspedisi UPM@Everest yang bermula pada pertengahan Mac dan berakhir pada Julai ini,” ujar beliau.

Setiap detik perjalanan bersejarah ini, katanya, warga UPM boleh mengikutinya secara live di TikTok@UniPutra yang akan merakam dan mendokumentasikan setiap perjalanan menuju ke Puncak Everest.

Misi itu sebagai suatu manifestasi dan simbolik bagi merealisasikan semangat keberanian UPM dan warganya bersama-sama bergerak sederap untuk mencapai puncak kejayaan (AL-Falah). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast