.
Logo Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional.

 

KUALA LUMPUR – TEKUN Nasional telah mengambil langkah-langkah bagi mengatasi isu kelewatan dalam memproses permohonan, kelulusan dan penyaluran pembiayaan Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN, Datuk Adam Abdul Ghani berkata, kelewatan itu berlaku disebabkan berlaku isu teknikal ekoran bilangan permohonan yang terlalu tinggi.

”Pihak TEKUN telah mengambil langkah-langkah bagi mengatasi isu ini secepat mungkin. Antaranya penyaluran pembiayaan telah dilaksanakan secara manual melalui cetakan cek yang diagihkan ke setiap Pejabat TEKUN cawangan di seluruh negara oleh kerana penyaluran pindahan dana elektronik tidak dapat dilaksanakan kerana gangguan teknikal tersebut.

”Sehingga kini, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM105 juta kepada 12,774 orang usahawan di bawah SPIM melalui cetakan cek dan pindahan dana elektronik.

“Penyaluran pembiayaan ini dijangka dapat diatasi sepenuhnya selewatnya pada akhir bulan ini”, ujar beliau sambil memaklumkan usahawan akan dihubungi oleh Pejabat TEKUN cawangan untuk penyerahan cek pembiayaan.

SPIM dilancarkan TEKUN bagi membantu usahawan yang telah dibuka untuk permohonan pada 1 hingga 15 Januari yang lalu.

Dana yang diperuntukkan berjumlah RM200 juta telah habis dipohon dalam dua minggu.

Sebanyak 23,767 permohonan telah diterima dan sehingga 8 Februari 2022, 15,880 permohonan telah diluluskan dengan nilai RM130.3 juta.

SPIM telah dibuka untuk permohonan pada 1 hingga 15 Januari yang lalu merupakan pembiayaan kepada usahawan informal dan mikro sebagai suntikan modal pusingan untuk memulih dan memulakan semula perniagaan yang terjejas daripada wabak Covid-19 dan bencana banjir.

Melalui SPIM, usahawan ditawarkan pembiayaan dengan nilai sehingga RM10,000 tanpa caj keuntungan dengan tempoh bayaran balik sehingga lima tahun dan moratorium selama 12 bulan. – MalaysiaGazette