MTE Virtual 2022 pada kali ini meneruskan konsep secara dalam talian yang akan diadakan pada 21 hingga 25 Mac nanti.-Foto UTeM

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sekali lagi terpilih menjadi penganjur bersama dengan PROTEMP Exhibition and Conferences bagi Malaysia Technology Expo (MTE) Virtual 2022.

Program yang akan diadakan pada 21 hingga 25 Mac ini nanti disokong sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

MTE Virtual 2022 pada kali ini bakal menyaksikan kumpulan pencipta inovasi dari seluruh dunia mengenengahkan hasil ciptaan produk inovasi mereka yang berimpak global.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Prof Ir Dr Ghazali Omar berkata, sinonim dengan fungsi dan kepakaran UTeM sebagai sebuah Institusi Peneraju TVET dan selaras dengan hala tuju serta konsep teknologi, UTeM sekali lagi menerajui jawatankuasa penjurian anugerah, International Innovation Awards (IIA).

Ghazali yang juga merangkap Pengerusi bagi kategori IIA pula berkata, secara fokusnya UTeM lebih tertumpu kepada aspek penjurian dan anugerah kepada para peserta yang mengambil bahagian kali ini.

Menurutnya, MTE Virtual 2022 menawarkan pelbagai hadiah menarik yang terdiri daripada rantaian pingat emas, perak dan gangsa serta beberapa anugerah berprestij berupa anugerah khas dari dalam dan luar negara.

Tambahnya, penjurian pula adalah daripada kalangan tenaga pakar dan profesional yang merupakan ahli-ahli akademik dari universiti-universiti ternama dalam negara manakala sebahagiannya pula terdiri daripada pakar-pakar dari agensi dan sektor industri yang berprofil tinggi peringkat nasional dan rangkaian global.

MTE Virtual 2022 juga membuka peluang kepada penyelidik di luar sana yang berminat untuk menyertai ekspo penyelidikan berprestij bertaraf dunia ini.- MalaysiaGazette