Shahir Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Rundingan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor antara komponen dalam Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang lain menyebabkan menyebabkan Pemuda PH seakan-akan ‘hilang taring’.

Mereka seperti telah dibisukan oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), dakwa Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.

Menurutnya, di saat Muda melukut kerusi, parti itu turut menyerang PH di media sosial dengan pelbagai isu termasuklah isu rasuah.

Katanya, perkara itu sekali lagi menunjukkan  tindak-tanduk Muda seperti tidak ikhlas dalam bersahabat.

“Rundingan kerusi antara Muda dan DAP, Amanah telah dimuktamadkan…namun, siapa tahu jika ada rundingan kerusi antara Pejuang dan Muda yang berlaku di belakang tabir.

“Adakah Muda menjadi tunggangan Pejuang yang sekali lagi menikam PH terutamanya PKR?

“Jelas sekali, keahlian Muda terdiri daripada anak-anak taikun besar di Malaysia yang nama mereka tersohor ketika era pemerintahan Perdana Menteri ke-4,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, Muda bercakap isu rasuah dan pengubahan wang haram dengan pelbagai lontaran di media sosial namun hakikatnya pengasasnya sendiri terpalit isu tersebut dengan dua pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Ujarnya, pengasas Muda turut terpalit dua tuduhan melakukan pecah amanah dana parti bernilai RM1 juta dan salah guna wang kempen Pilihan Raya Umum ke-14.

Justeru tegas beliau, anak muda perlu membuat pilihan yang baik demi masa depan negara kerana kestabilan politik adalah kunci kepada kerancakan ekonomi negeri dan negara.

“Anak muda ditipu dengan Manifesto PH ketika itu Ketua Pemuda PH adalah Pengasas Muda sekarang. Jangan biarkan pisang berbuah dua kali,” kataya. – MalaysiaGazette