Datuk Seri Idris Jusoh. foto SYAFIQ AMBAK, 26 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Kontrak Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Idris Jusoh disambung, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bekas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dilantik sebagai Pengerusi Felda dan Pengerusi Lembaga Pengarah agensi itu, berkuat kuasa 1 Mei 2020.

“Setuju sambung lagi dua tahun (jawatan Pengerusi FELDA).

“Tapi kalau lepas PRU15 kerajaan kalah dengan dia pun hilang jawatan, tapi pastikan BN menang PRU akan datang,” katanya dalam ucapan Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung MBFM, KAF dan PERSADA di Menara FELDA, malam ini.

Kontrak Idris akan tamat pada Mei ini.

Ahli Parlimen Besut itu mengambil alih Felda daripada Tan Sri Mohd Bakke Salleh yang meletak jawatan sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah agensi tersebut.

Mohd Bakke dilantik sebagai Pengerusi Felda selama dua tahun, mulai 1 Julai 2019 sehingga 30 Jun 2021. – MalaysiaGazette