menghadapi Kejuaraan B-23 AFF 2022 di Phnom Penh.- Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR – Pemain Johor Darul Ta’zim II, Shafi Azswad Sapari dipilih ketua jurulatih, Brad Maloney sebagai pengganti kepada Fahmi Daniel Zaaim.

Beliau akan membawa cabaran negara menghadapi Kejuaraan B-23 AFF 2022 di Phnom Penh, Kemboja yang akan bermula 15 Februari ini.

Fahmi Daniel terpaksa diketepikan selepas dia disahkan positif Covid-19 ketika ujian calitan Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (PCR) dilakukan sebaik sahaja kem skuad negara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh kelmarin.

Menurut hantaran di Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Shafi Azswad akan terbang ke Kemboja pada hari ini dan dia terus menjalani latihan bersama pasukan sebaik sahaja keputusan PCR diperolehi.

Selain daripada kehadiran Shafi Azswad, FAM turut mengumumkan senarai penuh 28 pemain yang akan menggalas tanggungjawab skuad B-23 negara di Kemboja itu.

Skuad B-23 kebangsaan akan memulakan saingan Kumpulan B menentang Myanmar pada Selasa, 15 Februari dan Laos pada Jumaat, 18 Februari, kedua-duanya di Stadium Prince, Phnom Penh.

Satu lagi pasukan yang sepatutnya berada dalam Kumpulan B bersama Malaysia iaitu musuh tradisi, Indonesia sudah menarik diri daripada persaingan akibat dibelenggu masalah kecederaan dan wabak melanda.

Saksikan siaran langsung semua perlawanan yang melibatkan skuad Malaysia B-23 di saluran TV9 bermula 15 Februari ini. – MalaysiaGazette