Mohd Ekhwan Toriman

KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan melaksanakan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bagi menerima hampir 10,000 pelajar tempatan dan antarabangsa ke kampus secara berperingkat pada bulan Mac ini.

Naib Canselor, Prof. Datuk Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman turut memberi jaminan memastikan keselamatan pelajar yang pulang ke kampus akan terus dipertingkat.

”UKM telah mengkaji semula dan mengetatkan SOP yang sedang digunapakai di universiti ini bagi melancarkan proses kemasukan pelajar pada bulan hadapan iaitu bermula 27 hingga 29 Mac ini.

”Kita akan meminta pemimpin pelajar terutamanya Majlis Perwakilan Pelajar dan Majlis Eksekutif Pelajar di kolej kediaman untuk membantu mengingatkan pelajar supaya sentiasa mematuhi SOP secara berterusan,” katanya.

Bagi proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), dekan dan pengurusan fakulti telah memastikan semua SOP untuk kuliah, makmal dan aktiviti klinikal bagi fakulti masing-masing dikemaskini.

”Pelaksanaan PdP, amali dan makmal serta aktiviti penyelidikan akan bergantung kepada kapasiti kemudahan dewan kuliah dan makmal yang ada. SOP telah dibangunkan dan dikemaskini dari semasa ke semasa bersesuaian dengan kapasiti kemudahan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, pihak fakulti juga dibenarkan untuk menentukan kaedah pembelajaran bagi aktiviti penyelidikan dan kaedah PdP sama ada dilakukan secara dalam talian, bersemuka atau hibrid.

”Walau bagaimanapun, pihak Jawatankuasa Tindakan Krisis UKM: Kategori Penyakit Berjangkit dan Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH-UKM) akan meneliti semula semua SOP fakulti sebelum diperakukan,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, terdapat dua kategori pelajar yang akan hadir ke kampus iaitu melibatkan pelajar yang menginap di dalam kampus dan juga di luar kampus.
“Jumlah bilangan pelajar yang akan menginap di kolej kediaman adalah tertakluk kepada jumlah kapasiti kolej.

Walau bagaimanapun, pihak Pusat Perumahan Pelajar akan memastikan semua pelajar mematuhi SOP yang telah dibuat.

”Kita bakal menerima kemasukan pelajar ke kolej kediaman hampir 10,000 orang bagi semester 2 sesi 2021/2022. Jadi, pematuhan SOP adalah sangat penting dan pihak kami juga akan mematuhi semua arahan yang dikeluarkan oleh KPT dan Majlis Keselamatan Negara dari semasa ke semasa berhubung isu ini,” katanya.

”UKM berusaha sedaya upaya bagi memastikan keselamatan pelajar dan akan sentiasamemastikan kawalan penyakit dilakukan dengan baik dalam memberi jaminan terhadap keselamatan pelajar di dalam kampus,” ujarnya. – MalaysiaGazette