KUALA LUMPUR – Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 mendapati, daripada 32.4 juta yang dibanci, 52.3 peratus terdiri daripada lelaki, manakala 47.7 peratus pula perempuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini menjadikan nisbah jantina adalah 110 bagi lelaki berbanding 100 wanita.
“Penemuan banci juga menunjukkan negeri yang mempunyai bilangan wanita melebihi lelaki adalah Putrajaya.
“Ini menunjukkan 100 orang wanita bersamaan 96 orang lelaki,” katanya berucap merasmikan Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 di Universiti Management & Science (MSU), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, dapatan bancian itu juga mendapati penduduk Bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak 69.4 peratus.
“Ini diikuti oleh etnik Cina sebanyak 23.2 peratus, India (6.7%) dan lain-lain (0.7%),” katanya.
Selain itu, penduduk Malaysia yang berjumlah 32.4 juta mempunyai Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) sebanyak 1.7 peratus dalam tempoh 10 tahun.
“Dari segi tempat kediaman pula, sebanyak 9.6 juta telah dibanci.
“Terdapat 8.2 juta Isi Rumah (IR) dengan Purata Saiz IR persendirian adalah sebanyak 3.8,” katanya.
Sementara itu, bancian itu juga mendapati umur muda telah menunjukkan penurunan daripada 27.6 peratus pada 2010 kepada 24.0 peratus pada 2020.
“Sebanyak 6.8 peratus berumur 65 tahun dan ke atas, 69.3 peratus ialah umur bekerja (15 hingga 64 tahun) dan bakinya 24.0 peratus dalam kalangan umur muda (0 hingga 14 tahun).
“Warga emas yang berumur 60 tahun ke atas telah direkodkan sebanyak 10.4 peratus (3.4 juta) berbanding pada 2010 ialah 8.0 peratus (2.2 juta),” katanya.
Katanya lagi, kesemua penemuan Banci 2020 akan dijadikan tanda aras baharu untuk kerajaan menggariskan polisi dan dasar yang berkaitan dalam pembangunan kesejahteraan rakyat.
“Di samping dapat memberikan input yang menyeluruh dalam pelaksanaan dasar sedia ada seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Rancangan Malaysia Ke-12 dan Agenda 2030 Pembangunan Mampan (SDGs),” katanya lagi. – MalaysiaGazette