Iqbal. Foto Astro Gempak.

KUALA LUMPUR – Juri tetap program Big Stage musim keempat (BS4), Ajai memberikan komen terhadap persembahan usahawan selebriti kontroversi, Ahmad Iqbal Zulkefli pada konsert kedua malam tadi.

Menerusi komennya, Ajai dengan tegas menyedarkan bahawa Iqbal, 28, langsung tidak memiliki bakat dalam nyanyian.

“Awak tidak berbakat dalam nyanyian. Bakat adalah pemberian.

“Walaupun berduit macam mana pun, bakat tidak boleh dibeli dengan wang ringgit,” katanya dalam program yang disiarkan secara langsung itu.

Iqbal yang menyanyikan lagu Ketahuan nyanyian asal band Indonesia, Matta mendapat markah keseluruhan 9.2 peratus daripada juri dan 5.56 peratus markah undian penonton dan menjadi peserta pertama yang tersingkir.

Tambah Ajai, walaupun Iqbal tidak dikurniakan bakat dalam bidang nyanyian, namun pemuda itu diberi rezeki lain.

Jelas pelantun lagu Keliru itu, untuk menjadi seorang penyanyi memerlukan seseorang itu perlu menimba ilmu bukan dalam masa yang singkat.

“Tempo nyanyian awak berterabur. Untuk menjadi penyanyi perlukan masa. Bukan sehari dua untuk belajar.

“Tapi yang paling utama untuk bergelar penyanyi, seseorang itu perlu dikurniakan bakat terlebih dahulu. Saya tidak suka perkara ini dijadikan bahan lawak,” katanya.

Sementara itu, usahawan terkenal Datuk Seri Vida secara berterus terang turut memberitahu bahawa ‘bekas kekasihnya’ itu tidak layak untuk berada di atas pentas BS4.

“Saya mewakili netizen ingin memberitahu bahawa Iqbal tidak layak berada di sini (BS4),” kata Vida yang juga Presiden Netizan Big Stage musim ini.

Penglibatan Iqbal dalam program BS4 sebagai peserta menerima kritikan hebat bukan sahaja dalam kalangan netizen, bahkan juga artis.

Antara yang lantang menentang penglibatan Iqbal dalam BS4 ialah penyanyi Datuk Hattan yang menyifatkan penyertaan usahawan itu sebagai ‘memualkan’.

Bahkan, Hattan juga turut mengkritik pihak penyiar kerana kelihatan sengaja ‘menjual’ publisiti jelik demi ‘rating’.

“Saya bersuara dan lantang memberi teguran sebab sayangkan industri kita. Tolonglah hentikan benda begitu kalau tak nak tengok seni kita mundur dan berkubur,” ujar Hattan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast