Mysejahtera casual contact Covid-19
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia melahirkan rasa kesal dengan isu sekatan yang dikenakan terhadap 15 pelancong Malaysia di Filipina kerana sijil vaksin digital MySejahtera tidak diiktiraf di negara tersebut.

Pengerusi Biro Antarabangsanya, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham berkata, Wisma Putra seharusnya mengambil langkah proaktif dengan menegaskan bahawa rakyat Malaysia adalah pelancong yang dibenarkan memasuki Filipina.

“Rakyat Malaysia boleh berada di negara tersebut kurang dari 30 hari tanpa visa seperti yang dinyatakan di dalam Arahan Eksekutif No.408 (s.1960) yang juga boleh dirujuk di dalam Resolusi No.159 Inter-Agency Task Force Republic of Philippines.

“Vaksin yang disediakan oleh Kerajaan Malaysia telah diiktiraf di peringkat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Pertikaian kesahihan sijil digital vaksinasi MySejahtera tidak berasas kerana ia diterima pakai oleh negara maju seperti Amerika Syarikat dan Singapura.

“Kerajaan Filipina tidak seharusnya menafikan hak pelawat antarabangsa kerana hak tersebut telahpun ditetapkan oleh Kerajaan Filipina sendiri dan komuniti antarabangsa yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Seramai 15 pelancong Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino Manila selepas kumpulan itu tidak dibenar memasuki Filipina oleh pihak imigresen berikutan menerima vaksin di Malaysia.

Menurut portal The Star pada Ahad, seorang penumpang dilaporkan berkata, mereka dimaklumkan oleh imigresen negara itu bahawa sijil vaksin digital dalam aplikasi MySejahtera tidak diterima sebagai bukti vaksinasi.

Pihak berkuasa Filipina tidak membenarkan kemasukan 15 penumpang yang tiba menerusi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.

Manakala pasport mereka turut dirampas dan dimaklumkan akan dihantar pulang pada Selasa ini.

Katanya lagi, Wisma Putra perlu memandang serius perkara ini dan pihaknya menggesa agar isu pengiktirafan sijil vaksin ini diperhalusi dan dibincang di peringkat antarabangsa khususnya ASEAN dengan kadar segera.

“Ia bagi memastikan diskriminasi seperti ini tidak berlaku lagi yang sudah terang melanggar piawaian yang telah ditetapkan di peringkat antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast