Setiausaha Majlis Syura Ulama' PAS, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS kali ke 63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar. foto FAREEZ FADZIL, 01 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh enggan mengulas mengenai pengguguran Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat dan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas.

Pengguguran itu dikatakan tidak mengikut perlembagaan parti itu menerusi Fasal  Fasal 8 (5) dan (7).

“No komen,” tulisnya ringkas menerusi kiriman di aplikasi Whatsapp hari ini.

Semalam, Mohd Khairuddin berkata, perkara berkaitan pengguguran jawatannya diserahkan kepada kebijaksanaan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dan ahli Majlis Syura Ulama kerana melibatkan peruntukan yang ditetapkan dalam Perlembagaan Pas Fasal 8 (5) dan (7).

Beliau turut berharap ia dapat dibincangkan dalam semangat kekeluargaan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas, Senator Ir. Mohd Khairil Nizam Khiruddin berkata, perkara pengguguran jawatan itu telah dibincang dalam mesyuarat.

“Ini hal melibatkan organisasi. Ia telah pun dibincang dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dan mendapat nasihat dari semua taruh-taruh yang berkenaan,” katanya ringkas.

Peraturan Majlis Syura Ulama dalam Perlembagaan Pas kali terakhir dipinda pada tahun 2000 mempunyai sembilan perkara.

Fasal 8 (5) menyebut ahli-ahli Majlis Syura Ulama hendaklah memegang jawatannya selama lima tahun dan bagaimanapun ahli-ahli majlis ini boleh berhenti sebelum cukup tempoh lima tahun dan boleh diberhentikan oleh Majlis Syura Ulama yang mempunyai kuasa menentukan kelayakan seseorang ahli mengikut peruntukan Ceraian (3).

Fasal ini dan sebab-sebab seseorang ahli itu patut diberhentikan.

Dalam perenggan seterusnya iaitu Fasal 8 (7) menyebut, seorang Setiausaha Majlis Syura Ulama hendaklah dilantik oleh Mursyidul Am di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura Ulama dalam kalangan ahli-ahlinya dan hendaklah memegang jawatan itu selama lima tahun dengan syarat dia boleh berhenti sebelum cukup tempoh tersebut dan boleh diberhentikan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura Ulama.

Ia juga boleh diperbaharui perlantikannya setelah tamat tempoh dia memegang jawatan itu.

Pada 11 Februari lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan Mohd Khairuddin digugurkan daripada jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas berkuatkuasa 10 Februari 2022 kerana masalah disiplin.

Abdul Hadi berkata, pelantikan Mohd Khairuddin dalam Majlis Syura dibuat Jawatankuasa Pas Pusat bermakna Pas Pusat membatalkan pelantikan itu.

Pada Januari lalu, Mohd. Khairuddin juga telah digugurkan sebagai AJK Pas Pusat selepas dua bulan dilantik.

Bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu sebelum ini tersingkir ketika pemilihan AJK Pas bagi sesi 2021-2023 yang dijalankan ketika Muktamar Tahunan Pas Ke-67 pada 7 November tahun lalu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saya harap ia dibincang secara semangat kekeluargaan – Khairuddin