Proses bedah siasat terhadap dua beradik warga Myanmar yang maut dipercayai selepas makan sisa makanan dari tong sampah di Bukit Malut di sini pada Ahad lalu selesai dilaksanakan hari ini.

LANGKAWI – Proses bedah siasat terhadap dua beradik warga Myanmar yang maut dipercayai selepas makan sisa makanan dari tong sampah di Bukit Malut di sini pada Ahad lalu selesai dilaksanakan hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, proses bedah siasat dilakukan di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar mengambil masa lebih kurang lima jam namun punca kematian sebenar masih belum dapat dipastikan.

“Bedah siasat terhadap dua kanak-kanak yang berusia dua dan empat tahun itu dilaksanakan bermula jam 10 pagi tadi. Kita akan merujuk kepada Jabatan Kimia di Pulau Pinang untuk dapatkan hasil analisa lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pihak polis juga terpaksa menggunakan khidmat jurubahasa kerana bapa kepada dua beradik itu tidak fasih berbahasa Melayu.

“Siasatan berhubung kes ini masih diteruskan,” kata Shariman.

MalaysiaGazette semalam melaporkan, bapa kepada dua kanak-kanak lelaki yang meninggal dunia selepas dipercayai  makan sisa makanan dari tong sampah di Bukit Malut di sini, semalam ditahan untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, lelaki warga Myanmar berusia 36 tahun itu ditahan pada malam semalam.

“Hasil ujian air kencing ke atas suspek juga mendapati dia positif dadah,” kata beliau. – MalaysiaGazette