ACP Noor Dellhan Yahaya

KUALA LUMPUR – Dua warga asing termasuk seorang wanita ditahan polis semalam kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, bertindak atas maklumat pada jam 1.30 tengahari, pihaknya telah melakukan serbuan di sebuah kondominium mewah di Medan Tuanku, di sini.

“Pemeriksaan lanjut polis juga membuat rampasan sebanyak 32 peralatan elektronik iaitu tiga telefon bimbit, seunit tablet, seunit iPad, enam unit Pemprosesan Pusat (CPU), enam monitor komputer, lima papan kekunci komputer, lima unit tetikus dan lima unit kad SSD disyaki digunakan untuk kegiatan penipuan dalam talian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kedua-dua suspek yang berumur 36 dan 42 tahun itu kini ditahan reman sehingga 18 Februari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Ujar beliau, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek menggunakan modus operandi secara dalam talian di kondominium mewah yang menggunakan keselamatan 24 jam bagi mengelak daripada kegiatan penipuan dikesan dan menyukarkan kemasukan pelawat,” katanya.

Orang ramai yang empunyai maklumat aktiviti yang mencurigakan berkenaan penipuan secara atas talian boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline polis Kuala Lumpur di talian 03- 2159999 atau balai polis yang berhampiran. – MalaysiaGazette