Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR – Pemain sayap Selangor FC 2, Muhammad Fahmi Daniel Mohd Zaaim mendapat peluang kedua untuk beraksi pada Kejuaraan Bawah 23 Tahun (B-23) Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Phnom Penh, Kemboja.

Ini kerana dia sah menggantikan pemain pertahanan, Ahmad Zikri Mohd Khalili yang terpaksa dilepaskan kerana kecederaan lutut.

Menurut kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pertukaran saat akhir itu dilakukan sebelum skuad negara menghantar senarai akhir kepada AFF untuk pendaftaran pemain pada Ahad lalu.

Dalam kenyataan itu, Ketua Jurulatih skuad B-23 kebangsaan Brad Maloney berkata, beliau ingin memberikan peluang kepada Ahmad Zikri untuk pulih dan kembali berlatih bersama pasukan namun kecederaan serius dialaminya menyebabkan pemain berusia 20 tahun itu terpaksa diketepikan.

“Zikri telah mengalami kecederaan berkenaan selepas menjalani beberapa siri perlawanan persahabatan bersama Selangor FC namun kecederaannya itu tidak dapat pulih dalam jangka masa pendek.

“Justeru itu, kami telah menyenaraikan semula Fahmi yang masih menjalani kuarantin di hotel isolasi bagi menggantikan kekosongan pemain di dalam pasukan” kata Maloney.

Menurut prosedur operasi standard (SOP) terbaharu yang dikeluarkan AFF, Fahmi Daniel dan seorang lagi pemain Shafi Azswad Sapari perlu menjalani sesi kuarantin selama lima hari sebelum kedua-dua pemain itu dibenar kembali berlatih bersama pasukan.

Terdahulu, Shafi Azswad menyertai pasukan pada saat akhir bagi menggantikan Muhammad Fahmi yang disahkan positif Covid-19 setibanya di Phnom Penh pada Jumaat lalu. – MalaysiaGazette