Barang kes judi dan pelacuran dilupuskan oleh IPD Dang wangi di hadapan majistret mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Gambar Sumber IPD Dang Wangi

KUALA LUMPUR – Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berjaya menjalankan sebanyak 143 serbuan  terdiri daripada 109 kes perjudian dan 34 kes pelacuran di sekitar daerah tersebut pada bulan Jun 2021 hingga 31 Januari yang lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan tersebut merampas sebanyak 449 peralatan perjudian yang dianggarkan bernilai RM150,000 dan wang tunai RM11,882,110.

Turut dirampas peralatan pelacuran dianggarkan bernilai RM22,930.00 dan wang tunai RM400.

“Keseluruhan barang kes dan wang tunai yang dirampas berjumlah RM185,212.

“Bagi kes perjudian sahaja, sebanyak 109 kertas siasatan disiasat di bawah Seksyen 4A (a) dan Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Barang kes judi dan pelacuran dilupuskan oleh IPD Dang wangi di hadapan majistret mahkamah Kuala Lumpur hari ini.Gambar Sumber IPD Dang Wangi

Bagi kes pelacuran pula, sebanyak 34 kertas siasatan disiasat di bawah Seksyen 372B dan Seksyen 373 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, sebanyak 20 premis perjudian telah diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) di atas permohonan yang telah dibuat oleh IPD Dang Wangi mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sebanyak tiga struktur dalaman premis pelacuran telah dirobohkan dan disita kerana dibina tanpa kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengikut Seksyen 101 (i)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Seksyen 3(1) Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016.

“Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Dang Wangi telah melakukan pelupusan sebanyak 33,262 keping cakera video digital (DVD) cetak rompak yang dianggarkan bernilai RM99,786 hasil daripada serbuan yang dilakukan di sepanjang tahun 2008 hingga 2016.

“Sebanyak 24 kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 5 (2) dan Seksyen 18 (5) Akta Penapisan Filem 1952.

“Sebanyak 1,345 telefon bimbit klon dianggarkan bernilai RM120,000 dirampas dalam serbuan pada tahun 2010 dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Semua barang kes yang dirampas hasil daripada kejayaan serbuan melibatkan kes perjudian, kes pelacuran dan DVD cetak rompak telah dilupuskan di hadapan Majistret Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur setelah permohonan pelupusan barang kes dibuat pada 21 Januari lalu. – MalaysiaGazette