Mohamed Shahrin Ismail

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Gombak menggesa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis mempertahankan tiga beradik bersama bapanya yang telah memeluk agama Islam pada Julai 2020.

Timbalan Ketua Putra Bahagian Gombak, Mohamed Shahrin Ismail menegaskan, gesaan itu dibuat partinya berikutan ada unsur campur tangan daripada DAP Pulau Pinang yang sengaja mencetuskan isu perkauman.

“Maklumat yang diterima, empat beranak itu mendaftarkan agama mereka di Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) Perlis di Bahagian Pendaftaran Mualaf.

“Ini adalah harapan atau amanah dari seorang bapa yang hendak anak mereka memeluk Islam dan keinginan kanak-kanak tersebut dengan rela hati memeluk agama Islam.

“Malangnya, ia telah dijadikan isu politik oleh DAP selepas bapa kanak-kanak itu ditahan polis atas isu jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Isnin lalu, Loh Siew Hong, ibu kepada kanak-kanak itu membuat laporan polis bagi meminta kepulangan tiga anaknya, yang didakwa ditahan seorang pendakwah wanita dari sebuah NGO mualaf di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Siew Hong, 34, dalam laporan polisnya  telah berpisah dengan suaminya yang berbangsa India sejak Mac 2019 dan kemudiannya berpisah daripada anak-anaknya – sepasang kembar berusia 14 tahun dan seorang berusia 10 tahun.

Beliau mendakwa, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Mac tahun lalu membenarkan hak penjagaan tiga anak itu kepadanya.

Semalam, Mufti Perlis, Datuk Seri Dr. Mohd Asri Zainul Abidin mengesahkan kanak-kanak itu didaftarkan sebagai orang Islam apabila dibawa bapa mereka untuk memeluk Islam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang, P. Ramasamy dilaporkan turut meminta polis menyiasat di mana kanak-kanak itu berada.

Beliau menyifatkan kes itu seolah mengulangi apa yang berlaku kepada anak-anak Indira Gandhi selepas bercerai dengan suaminya yang memeluk Islam.

Jelas Mohamed Shahrin, Putra Bahagian Gombak mahu kes itu diselesaikan secara baik tanpa ada campur tangan dari kerajaan DAP Pulau Pinang yang cuba menjadikan kes itu sebagai isu politik.

“Kepada parti politik terutama DAP, jangan timbulkan isu perkauman. Amat memalukan tuduhan melampau oleh P. Ramasamy kepada JAIN Perlis menerusi portal berita dan live dalam bahasa Tamil dengan kenyataan yang berbau perkauman.

“Kita tidak mahu puak ektremis perkauman wujud dalam negara seperti LTTE yang dipengaruhi oleh ektremis seperti di negara India yang mana pembunuhan, penyeksaan, penindasan kepada 200 juta umat Islam dalam negara itu terang terangan dibenarkan oleh pemimpin tertinggi mereka.

“Jangan timbulkan atau membangkitkan kebencian agama yang telah kita sama-sama jaga sejak awal kemerdekaan sehingga hari ini. Malaysia harmoni dengan masyarakat majmuk dan saling menghormati antara satu sama lain,” tegasnya.

Kata beliau, semua pihak perlu berpendirian tegas dan tidak boleh bertolak ansur mempertahankan Asas Perlembagaan Negara yang terbentuk melalui Kontrak Sosial yang dipersetujui semua pihak berkepentingan sebelum Persekutuan Tanah Melayu diberikan kemerdekaan pada 1957 seperti Fasal 151, Fasal 152, Fasal 153 dan yang berkaitan.

“Malah, ujarnya, terdapat Asas Perlembagaan Negara ternoda dengan dasar-dasar yang digubal kerana tekanan pihak tertentu bagi meraih undi.

“Ada pihak menuntut supaya Fasal 153 dikaji semula atas alasan peredaran masa dan masyarakat majmuk Malaysia. Cadangan ini mencabar Akta Hasutan Negara, namun kerana kelemahan iltizam kepimpinan politik negara ianya dibiar begitu sahaja.

“Keadaan ini ibarat api dalam sekam dan telur dihujung tanduk. Bagi saya sebagai seorang pemimpin Putra yang memperjuangkan prinsip asas perlembagaan negara yang terikat dengan sosial kontrak tidak akan berdiam diri dan akan menempuh apa jua cabaran yang mendatang demi kerukunan negara masyarakat majmuk.

“Segala kepentingan majoriti penduduk asal negara iaitu kaum peribumi wajib terus dihormati,” tegas beliau. – MalaysiaGazette