Foto: Polis Nilai

NILAI – Pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sejauh lima kilometer hari ini berikutan sebuah lori minyak masak terpakai terbabas di Kilometer 278.8 arah utara dari Bandar Ainsdale ke Nilai.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Mohd Fazley Ab Rahman berkata, kemalangan pada 6.45 petang itu menyebabkan muatan minyak masak terpakai di dalam tujuh tong mengalir hingga ke lorong keempat lebuh raya lalu menyebabkan kesesakan.

Beliau berkata, siasatan awal mempercayai lori jenis Hino berwarna putih itu terbabas akibat tayar belakang kenderaan itu pecah.

“Kejadian berlaku di lorong kedua dari kanan, pasukan bomba dan penyelamat sedang membersihkan laluan tersebut.

“Pemandu lori itu telah dibawa orang awam ke hospital terdekat untuk rawatan manakala kelindannya, seorang lelaki berusia 39 tahun hanya cedera ringan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohd Fazley, kemalangan itu disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast