Rosmah Mansor pink diamond necklace
Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Prosiding permohonan Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes pengubahan wang haram dan kegagalan mengisytiharkan pendapatan RM7 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapinya ketika ini ditangguh lagi.

Ini kerana salah seorang peguam yang mewakilinya positif Covid-19 hari ini.

Sepatutnya dalam prosiding hari ini, pasukan bela dan pendakwaan dijadualkan berhujah selepas permohonan Rosmah yang mahu menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai prosiding berkenaan.

Menurut peguam bela Rosmah, Datuk Geethan Ram Vincent, salah seorang daripada peguam yang hadir prosiding petang semalam di sahkan positif Covid-19.

“Selepas pasukan pembelaan pulang selepas prosiding sekitar 2.43 petang semalam, peguam itu telah menerima laporan patologi yang mengesahkan dirinya positif.

“Situasi ini juga menyebabkan kami terpaksa mendapatkan arahan mahkamah untuk penangguhan memandangkan semua yang hadir semalam adalah kontak rapat,” katanya dalam e-Mel kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi hari ini.

Peguam isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Geethan Ram Vincent.

Geethan turut memberikan salinan e-Mel itu kepada media sebentar tadi.

Kata Geethan lagi, tarikh baharu bagi pendengaran itu belum lagi di putuskan.

Semalam, Rosmah tampil membantah Sri Ram yang mahu berhujah bagi  sendiri dalam kes permohonan melucutkan kelayakan beliau sebagai Timbalan Pendakwa Raya ketika prosiding.

Rosmah sebelum ini telah memohon untuk lucut kelayakan Sri Ram dari mengetuai kes pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatan RM7 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapinya ketika ini.

Justeru itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menangguhkan prosiding semalamdan akan menyambungnya esok pagi ini bagi membolehkan kedua-dua pihak berhujah berhubung perkara itu.

Untuk makluman, sepatutnya mahkamah petang ini mendengar permohonan Rosmah iaitu untuk menyingkirkan Sri Ram bagaimanapun apabila bekas Hakim itu mahu berhujah sendiri, pasukan bela membantah.

Rosmah sebelum ini telah memfailkan permohonan untuk menyingkirkan Sri Ram atas alasan antaranya mendakwa bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu bukanlah orang yang sesuai untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes ini.

Juga pada  12 Januari lalu, Rosmah juga telah memfailkan permohonan untuk menggugurkan hakim Mohamed Zaini daripada mendengar perbicaraan kes AMLA dan LHDN yang sedang dihadapi olehnya.

Pada 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN di Mahkamah Sesyen di sini. -MalaysiaGazette