Pesakit baharu Covid-19 boleh dijangkiti jika berada berdekatan dengan seseorang yang batuk atau bersin.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 18,277 kes Covid-19 melibatkan ibu hamil telah direkodkan sepanjang Mac 2020 sehingga Januari lalu, kata kenyataan dari Kementerian Kesihatan (KKM).

Jumlah itu adalah 0.64 peratus daripada jumlah keseluruhan bagi jangkitan Covid-19 yang dilaporkan bagi tempoh yang sama.

Menurut KKM, bagi tahun 2021, bilangan kes dalam kalangan ibu hamil melonjak naik pada Julai hingga September dan mula menunjukkan trend penurunan pada Oktober 2021 hingga Januari 2022 .

“Sejak pandemik Covid-19 bermula 2020, sejumlah 191 kes kematian ibu hamil disebabkan oleh komplikasi jangkitan Covid-19, di mana semua kematian dilaporkan berlaku pada tahun 2021.

“Tahun ini sehingga 15 Februari lalu, tiada kes kematian ibu hamil yang disebabkan komplikasi jangkitan Covid-19 dilaporkan.

“Namun, bagi tahun 2021, kemuncak kematian ibu hamil akibat komplikasi jangkitan itu ialah pada Julai (31 kes), Ogos (77 kes) dan September (44 kes),” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu turut melaporkan kes kematian semakin menurun pada Oktober iaitu 12 kes, diikuti November (tiga kes) dan tiada kes kematian bagi Disember 2021.

Analisa data kematian menunjukkan 79 peratus daripada kes kematian tidak menerima vaksin Covid-19, manakala sebanyak 83 peratus daripada kes kematian mempunyai komorbid.

“Selain itu, masalah berat badan (berat badan berlebihan atau obesiti) juga merupakan faktor risiko yang kerap dilaporkan.

“Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada penurunan kes kematian ibu hamil akibat komplikasi Covid-19 ialah liputan vaksinasi yang tinggi iaitu 94.7 peratus dalam kalangan populasi dewasa berumur 18 tahun ke atas yang telah dicapai pada Oktober lalu.

“Berdasarkan pencapaian kempen Ibunisasi, data sehingga akhir Oktober 2021 menunjukkan 94 peratus daripada ibu hamil yang mendaftar di aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan vaksin Covid-19 telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan daripada jumlah tersebut, 91 peratus telah lengkap menerima dua dos,” katanya. – MalaysiaGazette