Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Amaran yang dikeluarkan oleh Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai pembahagian kerusi dengan PKR pada Pilihan Raya Negeri Johor disifatkan tidak padan dengan umur empat bulan parti itu.

Ahli Parlimen PKR Hassan Abdul Karim berkata, dia mengurut dada menahan sabar selepas membaca amaran yang dikeluarkan oleh Syed Saddiq.

Jika dianologikan sebagai seorang bayi, menurut Hasan, Muda yang berumur empat bulan hanya layak untuk minum susu sahaja.

“Garang sungguh amaran Presiden Parti Muda yang baru berusia empat bulan tersebut.

“Kalau bayi baru berumur empat bulan belum boleh makan nasi atau makanan keras. Kena minum susu sahaja. Perut bayi belum kuat untuk menghadam.

“Jangan marah analogi seperti ini digunakan. Parti Muda satu hari nanti pun akan jadi tua,” sindir Ahli Parlimen Pasir Gudang itu.

Hasan mengingatkan Syed Saddiq, sebagai seorang Johor mereka ibarat cucu cicit Tun Seri Lanang dan Raja Ali Haji yang apabila berkata dan berhujah penuh dengan sopan dan santun.

Tambahnya, Syed Saddiq jangan cepat mengeluarkan amaran kerana mungkin akhirnya akan mendatangkan kesan terhadap diri sendiri.

“Syed Saddiq adalah pemimpin generasi baru yang punya masa hadapan yang cerah. Memang elok dan tepat melangkah dengan tangkas dan berani.

“Tetapi awas juga, anda baru kali pertama memimpin sebuah parti baru menghadapi pilihanraya. Lalu jangan cepat memberi amaran dan ugutan.

“Jangan cepat menghunus keris untuk menikam, penulis bimbang, takut-takut nanti akan tertikam dengan keris sendiri,” kata Hassan.

Menurut Hasan, walaupun Syed Saddiq mempunyai ramai pengikut di media sosial namun beliau tidak seharusnya mudah untuk memberi ugutan kepada PKR.

Ahli Parlimen Muar itu diingatkan mengenai sejarah kewujudan PKR hasil perjuangan di jalan raya dan di dalam penjara.

“Kami tidak akan berundur jika dicabar oleh sesiapapun, hatta kepada mereka yang cepat menghunus pedang. Pantang kami berundur.

“Lihat bendera kami berwarna merah, itu maknanya keberanian berjuang.Lihat bendera kami berwarna biru, itu maknanya kami mencintai perdamaian dan keadilan.

“Maka berhati-hatilah jika mengeluarkan kata-kata, wahai sahabatku Syed Saddiq. Mungkin penulis ini sudah tua tetapi orang tua ini kenal perangai ‘anak muda julung berkeris’,” kata Hasan.

Syed Saddiq dalam kenyataan hari ini memberi ingatan sekiranya pertindihan kerusi berlaku antara Muda dan PKR dalam PRN Johor mereka akan menyerah perkara itu kepada kuasa rakyat.

Ia berikutan kegagalan rundingan pembahagian kerusi antara Muda dan PKR dalam PRN Johor.-MalaysiaGazette