Petugas hospital, Dr. Fadhli Suhaimi berpakaian lengkap Powered Air-Purifying Respirator (PAPR) memeriksa alat bantuan pernafasan terhadap pesakit Covid-19 yang berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Kes harian Covid-19 dalam negara terus menunjukkan peningkatan dengan 27,808 kes baharu dicatatkan setakat semalam berbanding 26,701 kes, kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kumulatif kes Covid-19 kini sebanyak 3,166,023 kes.

Menurutnya, daripada jumlah kes harian yang dilaporkan setakat semalam, 27,705 kes (99.63 peratus) adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Sebanyak 103 kes atau 0.37 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima,” katanya menerusi kenyataan harian Covid-19 hari ini.

Noor Hisham berkata, kategori satu mencatatkan 7,773 kes, kategori dua (19,932 kes), kategori tiga (49 kes), kategori empat (31 kes) dan kategori lima 23 kes.

Jelas beliau, daripada 103 kes kategori tiga, empat dan lima yang baharu, sebanyak 43 kes adalah tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi manakala 41 kes telah menerima dua dos vaksin Covid-19.

Katanya lagi, 19 kes pula membabitkan individu yang telah menerima dos penggalak, 50 kes individu berusia 60 tahun ke atas, 44 kes mempunyai komorbid, satu kes ibu mengandung dan 16 kes telah meninggal dunia (sembilan kes BID).

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, sebanyak 235 kes sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi manakala 132 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Tambahnya, sebanyak 486 kluster aktif direkodkan dengan jumlah kluster baharu sebanyak 16 kluster.

Dr Noor Hisham berkata, secara keseluruhannya kapasiti fasiliti kesihatan di hospital
awam masih boleh menampung kes Covid-19 dan bukan Covid-19.

Namun begitu setiap negeri telah bersiap siaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya didapati kapasiti fasiliti semakin penuh- MalaysiaGazette