.
Logo Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional.

KUALA LUMPUR – Agihan dana Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) akan diselesaikan sepenuhnya pada pertengahan bulan Mac ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, sehingga kini, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM110.1 juta kepada 13,370 orang usahawan di bawah SPIM melalui cetakan cek dan pindahan dana elektronik.

SPIM telah dibuka untuk permohonan oleh usahawan pada 1 hingga 15 Januari lalu dengan dana yang diperuntukkan berjumlah RM200 juta.

Melalui skim ini, usahawan ditawarkan dengan nilai pembiayaan sehingga RM10 ribu tanpa caj keuntungan dan moratorium selama 12 bulan.

Menurutnya, TEKUN Nasional menerima permohonan yang terlalu tinggi dalam masa singkat dan dana yang sepatutnya disalur dalam tempoh setahun telah habis dalam tempoh dua minggu.

Sebanyak 23,767 permohonan telah diterima dan sehingga 15 Februari 2022, 15,902 permohonan telah diluluskan dengan nilai RM130.5 juta.

Dalam memproses permohonan itu, TEKUN berdepan dengan isu teknikal selepas sistemnya digodam dan menyebabkan berlaku kelewatan dalam memproses
permohonan, kelulusan dan penyaluran pembiayaan namun laporan polis telah dibuat pada 16 Februari 2022.

”TEKUN telah mengambil langkah-langkah bagi mengatasi isu ini secepat mungkin, antaranya penyaluran pembiayaan telah dilaksanakan melalui cetakan cek
yang diagihkan ke setiap pejabat TEKUN cawangan di seluruh negara, oleh kerana penyaluran pindahan dana elektronik tidak dapat dilaksanakan kerana gangguan teknikal tersebut.

“Pengurusan TEKUN juga telah turun padang bagi menyerahkan sendiri 54 cek pembiayaan SPIM bernilai RM367,000 kepada usahawan
yang terlibat sekitar Parlimen Iskandar Puteri dan Pulai Johor hari ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast