Manivanan Gowin

KUALA LUMPUR – Sekiranya Parti MUDA masih berhasrat untuk memasuki gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, silakan tetapi biarlah beradab jangan mengugut.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Penerangan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Manivanan Gowin mengingatkan parti itu supaya jangan terus melompat dengan cita-cita tinggi untuk menawan langit.

Beliau yang kesal dengan kenyataan MUDA terkini parti itu berkata, rundingan kerusi di antara PKR dan MUDA telah pun selesai secara baik yang akan lmembawa kemenangan bersama kepada semua komponen Pakatan Harapan (PH).

Oleh itu, Parti MUDA tidak perlu mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan kekeliruan apabila kita dalam persiapan untuk menghadapi
PRN Johor.

”Parti MUDA dalam kenyataannya berkata, ‘MUDA menyertai PRN Johor 2022 bertujuan membawa perubahan yang baik kepada negeri Johor dan Malaysia’.

”Sekiranya benar, MUDA ingin memperjuangkan prinsip yang dinyatakan dalam kenyataan mereka, seharusnya MUDA menonjolkan ciri-ciri yang boleh menjunjung protokol dalam rundingan kerusi, menghormati keputusan dan bukannya memberi bayangan risiko pertindihan kerusi di PRN Johor,” katanya.

Tambah beliau, MUDA seharusnya memahami untuk memastikan sesuatu kejayaan di kerusi tidak kira Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen, sebuah parti harus memastikan pengalaman bekerja bersama akar umbi, mendengar keluhan rakyat tempatan dan penting sekali menyelesaikan masalah suara tempatan.

Selain daripada mendengar suara rakyat, jentera pilihanraya dan mekanisma memainkan peranan yang penting kerana ia adalah perkara asas bagi mencapai kejayaan di PRN Johor atau apa-apa pilihan raya.

”Menang rundingan kerusi dengan membuktikan perkara asas sebegini dan bukannya dengan mengugut semata-mata,” tegas beliau.

Manivanan menambah, seandainya MUDA ingin menunjukkan semangat setiakawan dan persefahaman politik bersama PH, MUDA seharusnya menjadi lapisan kedua (second layer) dalam membantu gabungan itu dan perbincangan mengenai kerusi sewajarnya menjadi faktor sekunder.

Apabila telah mendapat pengalaman, tunjuk ajar dan juga bersedia dengan jentera sendiri serta mempunyai akar umbi yang kukuh, bolehlah MUDA bersiap-siaga untuk bertanding pada PRU-15, ujarnya. – MalaysiaGazette